Perbuatan tipu sunat sering menjadi alat yang digunakan ibu bapa untuk memudahkan sesuatu urusan. Kita sebagai ibu atau ayah cukup masak dengan istilah ‘tipu sunat’ apabila dikaitkan dengan “trick” keibubapaan. Misalannya, apabila kita berada di restoran Mcdonalds yang ada sudut permainan kanak-kanak. Kita sudah selesai makan dan bersiap untuk balik tetapi susah sebab anak-anak kita tak puas main gelongsor kecil yang berkongsi dengan puluhan kanak-kanak lain. Jadinya, apa teknik yang selalu ibu bapa gunakan?
“Abang, kalau tak balik, ayah akan ambil permainan lego di rumah tu!” Kalau masih tak berjaya, biasa apa kita cakap, “Kalau kita balik, ayah akan berikan hadiah mahal bila kita sampai rumah nanti.”
Mungkin anak-anak kita akan teruja sebab dapat hadiah, tetapi kanak-kanak cepat terlupa. Kalau dia tak lupa sekali pun, berkemungkinan besar hadiah yang ibu bapa beri adalah gula-gula yang masih berbaki di dalam peti sejuk. Rasanya anak-anak tak perasan. Betul tak?
Sebenarnya tak boleh begitu. Walaupun dikatakan ‘tipu sunat’ tujuannya bukan untuk berbohong, tetapi tetap untuk menutup kebenaran. Bagi menyatukan kalimah ‘sunat’ dan ‘tipu’ adalah satu benda yang kita patut elakkan sebab ia tidak mencerminkan kalimah yang baik. Sebagai ibu bapa, kita mesti mendapatkan kepercayaan anak-anak. “Setiap yang terzahir daripada mulut kita mesti disusuli dengan kebenaran dalam perbuatan. Michele Borba, seorang ahli psikologi dalam bukunya Unselfie: Why empathetic Kids Succeed in Our All-About-Me World menjelaskan bahawa kanak-kanak sangat bijak untuk mengenalpasti janji manis yang akan kita tabur dan kebenaran dalam setiap perkataan.
Satu kajian yang dijalankan Rochester University pada tahun 2012 menggunakan kaedah ujian marshmallow menunjukkan amalan interaksi positif dengan orang dewasa akan mempengaruhi tindakan anak-anak. Kanak-kanak yang berinteraksi dengan golongan dewasa yang tidak mengamalkan ‘tipu sunat’ akan menunggu lebih lama sebelum makan gula-gula marshmallow yang diletakkan di atas meja. Berbeza berbanding kanak-kanak yang selalu dibohongi, mereka akan mengalami isu kepercayaan dan tidak pedulikan ganjaran yang mereka dapat jika tunggu lebih lama.
Dalam buku penulisan Michele Borba menjelaskan ketika kita sebagai ibu bapa melanggar janji, kita juga sedang mengajar anak-anak yang tindakan itu boleh diterima. Jadi, untuk mendidik anak-anak bercakap benar, kita perlu bercakap benar!
Kalau kita selalu menakut-nakutkan kanak-kanak dengan denda-denda kosong yang tidak pernah dijalankan, kesannya lebih besar. Anak-anak akan kurang rasa hormat dan memperkecilkan undang-undang yang kita cipta untuk jaga tingkah laku mereka. Dalam beberapa keadaan lain, anak-anak akan berasa tertekan dan keliru sama ada undang-undang itu patut diikut atau tidak perlu difikirkan langsung.
Banyak strategi lain yang boleh kita gunakan untuk kawal tingkah-laku anak-anak. Jika sebelumnya kita asyik gunakan Janji Manismu, bak kata biduanita Aishah, apa kata kali ini kita rangka beberapa teknik yang boleh digunapakai setiap hari terutamanya bila melibatkan situasi berhadapan orang ramai.
Strategi pertama adalah kita sendiri perlu tahu bila masanya anak-anak akan berkelakuan nakal. Ada empat masa kanak-kanak susah dijangka dan dikawal. Antaranya adalah ketika mereka sedang lapar, bosan, kepenatan dan perlukan perhatian. Mengetahui empat period masa ini membolehkan ibu bapa bersedia untuk menghadapi kesan kelakuan anak-anak. Bukan setakat tekanan anak-anak, kita sendiri sepatutnya cuba mengawal tekanan kerana kanak-kanak biasanya akan meniru kelakuan ibu bapa mereka yang menyebabkan mereka berkelakuan nakal.
Bagi memastikan anak-anak bertindak dalam situasi yang tepat sewaktu berada di luar, ibu bapa boleh melatih anak-anak sewaktu di rumah. Contohnya dengan kerap meminta anak-anak untuk mengambilkan alat kawalan jauh televisyen sewaktu mereka di ruang tamu. Tabiat yang biasa dilakukan anak-anak di rumah akan memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan permintaan-permintaan yang sebegitu apabila mereka berada di luar.
Tetapi, tidak semua kelakuan anak-anak yang kita boleh kawal. Adakalanya, tingkahlaku anak-anak berubah macam air pasang, ada pasang surutnya. Agak susah untuk kita sebagai ibu bapa untuk memikirkan respon terbaik terutama kalau kita hilang sabar dengan sikap anak-anak. Apa yang boleh kita lakukan adalah untuk menjadi lebih rasional? Fikirkan kenapa anak-anak berubah. Apa yang anak-anak sedang rasakan? Memerhatikan keadaan psikologi anak-anak secara intrinsik atau sisi dalaman membolehkan kita berikan respon yang lebih baik dan mendapat gambaran keseluruhan tentang apa yang berlaku.
Bagi memupuk sikap-sikap positif dalam diri anak-anak, memberikan kata-kata pujian selepas anak-anak berkelakuan baik adalah strategi yang lebih baik berbanding menjanjikan sesuatu yang tak dapat kita tunaikan. Sebagai contoh, kita boleh ceritakan sifat-sifat nabi Muhammad S.A.W. seperti ‘al-amin’ iaitu orang yang dipercayai. Walaupun Baginda kerap bergurau, namun ia tetap dalam batasan dan tidak mengandungi pembohongan. Begitulah yang mesti kita terapkan dalam kehidupan seharian. Pujilah anak-anak apabila dia melakukan kebaikan. Anak-anak akan gembira kerana dapat menyenangkan hati ibu bapa dan semoga berterusan melakukan kebaikan.
Tidak kiralah penipuan kecil yang dilakukan oleh ibu bapa di hadapan anak-anak atau mewujudkan undang-undang yang tak pernah kita ikut, perbuatan itu memberikan implikasi dalam kehidupan anak-anak terutamanya pada jangka masa panjang. Ibu bapa perlu menjadi suri tauladan yang baik kepada anak-anak. Kata-kata yang berupa janji adalah amanah yang mesti kita tunaikan sebaiknya, tidak kiralah di hadapan individu yang berusia atau anak-anak kecil.