Pernah tak terfikir sama ada bayi boleh melihat apa yang ada di kaca televisyen atau mendengar bunyi deringan loceng yang bangkitkan kita untuk pergi bekerja? Bayi atau kanak-kanak menggunakan kelima-lima deria mereka untuk menerima maklumat, memberi reaksi kepada persekitaran, mendapatkan nutrisi dan berhubungan dengan individu sekelilingnya. Sesetengah deria seperti sentuhan dan pendengaran telah sedia terbentuk sejak lahir. Deria penglihatan pula mengambil masa beberapa bulan untuk matang.
Jom, kami kongsikan apa yang boleh dilakukan untuk merangsang deria bayi anda!
Deria Penglihatan
Pada peringkat awal kelahiran, bayi cuma boleh melihat sekitar 8-12 inci, pandangan bayi juga kabur. Apa yang dilihat bayi kebanyakannya adalah bentuk dan bayang-bayang sama ada ianya besar, kecil, gelap atau terang. Ketika bayi berusia 4 bulan, bayi sudah boleh menggunakan pandangan untuk memerhatikan objek bergerak. Apabila bayi sudah mencapai usia 5 bulan, bayi tersebut kini memiliki persepsi yang lebih mendalam terhadap sesuatu yang dilihat termasuklah mula mengetahui pelbagai jenis warna yang wujud. Apabila bayi tersebut sudah mula merangkak atau berjalan, dia akan mula memiliki persepsi berkaitan jarak sesuatu tempat yang diterokainya.
Bagaimana melatih deria penglihatan bayi? Kita boleh menghias persekitaran bilik bayi dengan warna yang terang dan corak-corak yang kontra. Mengubah kedudukan buaian sewaktu bayi sedang makan akan membiasakan bayi dengan sudut-sudut berbeza yang terdapat dalam bilik tidur. Kita juga boleh bercakap secara berhadapan dengan anak-anak dengna melakukan pelbagai reaksi wajah; ini membolehkan bayi anda lebih fokus kepada wajah kita dan memerhatikan setiap pergerakan. Selepas usia 4 bulan, kita boleh mula bermain “Au Cak” dengan bayi untuk melatih koordinasi mata.
Cubalah bawa mereka melawat ke pelbagai tempat-tempat menarik yang boleh melatih perkembangan kognitif anak-anak melalui imbasan visual.
Deria Pendengaran
Pendengaran bayi mula terbentuk dari dalam rahim ibu lagi, sebab itu dikatakan apa bila lahir sahaja bayi ke dunia, mereka sudah boleh mengecam suara ibu yang melahirkannya. Bayi juga sangat sensitif kepada perubahan bunyi. Bayi akan cepat terkejut apabila terdengar bunyi hempasan pintu. Tetapi apabila bayi sudah tidur, jangan terkejut apabila dia boleh tidur lena walaupun dalam persekitaran yang bising. Pada peringkat dua bulan pertama kelahiran, bayi mudah terganggu dengan bunyi-bunyi bising di sekitarnya, tetapi selepas dua bulan, bayi tersebut mula mengeluarkan bunyi tertentu selain daripada tangisan. Pada usia enam bulan bayi sudah mula meniru bunyi-bunyi spesifik yang kita sebutkan.
Bagaimana melatih deria pendengaran bayi: Bercakap, membacakan al-Quran atau menyanyi lagu-lagu yang baik membantu membina personaliti yang baik, melatih corak pengucapan bagi si manja. Bagi bayi yang ada masalah tidur, kitab oleh gunakan mesin white-noise yang boleh meniru bentuk bunyi yang terhasil dalam rahim ibu. Ianya memberi ketenangan kepada si manja.
Deria Sentuhan
Deria sentuhan adalah deria yang sudah terbentuk sejak lahir lagi. Bayi mampu membezakan perbezaan suhu, tekstur, bentuk dan berat sesuatu objek serta merta. Sentuhan turut penting untuk membentuk perhubungan. Bermain dengan bayi dan aktivti skin to skin akan membuatkan bayi berasa selamat dan tenang sebab ia adalah sifat yang sama dirasakan sewaktu dalam kandungan ibu. Bayi juga meneroka melalui sentuhan. Bayi akan menggunakan mulutnya untuk mengenal pasti sesuatu. Jadi, jangan risau kalau dia memasukkan makanan atau sesuatu ke dalam mulut asalkan ia sesuatu yang selamat bersih. Apabila bayi sudah memiliki kawalan kepada kaki dan tangan, dia akan menggapai semua yang berada dalam jangkauannya.
Bagaimana Melatih Deria Sentuhan? Selalulah menyentuh bayi anda. Aktiviti skin to skin merupakan terapi semula jadi kepada bayi yang baru lahir. Mengurut bayi dengan krim selepas mandian atau urutan lembut memberikan ketenangan kepada si manja. Berikan permainan yang selamat daripada BPA atau bisphenol. Sama ada anak patung atau bola getah, biarkan dia merasai dan belajar segala berkaitan bentuk, saiz dan tekstur daripada setiap yang disentuhnya.
Deria Hidu
Bayi sudah memiliki deria hidu yang baik sejak lahir lagi. Dari hari pertama lagi, dia sudah tahu bau ibu bapanya pada hari pertama dan individu-iindividu sekeliling pada minggu pertama kelahiran. Bayi juga sensitive terhadap bau susu ibu sehingga dapat membezakannya dengan susu formula. Deria hidu adakalanya mendatangkan kesukaran terutama pada usia 4 bulan kerana bau orang yang dikenalinya memberikan ketenangan kepada si manja tetapi apabila bau terebut tidak ada, bayi mungkin sukar menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut kerana merasakan adanya bahaya tertentu.
Bagaimana Melatih Deria Bau? Gunakan produk yang sama sebagai kebiasaan kerana bayi sukakan sesuatu yang bersifat norma. Elakkan penggunaan minyak wangi semasa menyusu badan. Perkara ini disebabkan bayi akan keliru dengan pheromone yang dikeluarkan oleh ibu melalui susu ibu. Boleh beritahunya tentang jenis-jenis bau yang ada maka kita akan membantu memperluaskan perbendaharaan kata si manja.
Deria Rasa
Semenjak lahir, lidah bayi sudah berfungsi sepenuhnya. Bayi lahir dengan mengetahui langsung tentang jenis-jenis rasa seperti manis atau rasa-rasa berbeza yang kita makan. Semuanya didapati selepas bayi tersebut menghadam susu ibu. Itu sebabnya dia tidak berminat untuk menyusu selepas kita makan makanan-makanan manis seperti donut atau sepotong kek.
Bagaimana Melatih Deria Rasa: Makan pelbagai jenis makanan sewaktu menyusu badan. Seawal usia 6 bulan, kenalkan bayi dengan pelbagai jenis makanan dan pelbagai jenis rasa. Ini memberikan bayi peluang untuk meneroka kepelbagaian rasa dan kesan kepada tubuh badan. Tapi harus diingat, jika keluarga memiliki sejarah terhadap sesuatu alahan atau menyedari bayi anda memiliki alahan tertentu, pastikan kita semak dengan doktor terlebih dahulu sebelum memberikannya sesuatu yang baharu.
Takut Sesuatu Yang Buruk Berlaku?
Jika rasakan bayi kita menghadapi masalah pendengaran atau penglihatan, bawa si manja berjumpa doktor atau ahli padiatrik dengan segera. Masalah pendengaran akan membawa kesan kepada pertuturan si manja. Diagnosis segera akan membantu mengatasi masalah pembelajaran bahasa.
Anda boleh bisikkan sesuatu di telinga kiri dan kanan si manja. Jika dia cuma ketawa sewaktu anda bisikkan di sebealh telinga mereka sahaja, maksudnya si manja memilki masalah pendengaran di sebelah telinganya.
Pemeriksaan berkala selepas enam bulan kelahiran juga penting untuk mengetahui sama ada si manja memiliki masalah penglihatan. Kita boleh melihat pembentukan mata anak-anak sama ada simetri, ada sebarang kemerah-merahan atau saiz anak mata yang tidak normal.
Ibu bapa perlu peka terhadap sesuatu yang berbeza tentang anak-anak. Jika merasa ada keperluan untuk melakukan pemeriksaan atau untuk mendapatkan rawatan, ibu bapa perlu segera memberikan segala yang termampu demi kesihatan anak-anak.