Kita selalu dengar orang melawak dengan menyatakan masalah tidur sewaktu mengandung sebenarnya latihan untuk ibu-ibu rasakan pengalaman lebih teruk selepas kelahiran cahaya mata. Mana tidaknya, bayangkanlah nak uruskan waktu tidur anak lagi, keperluan-keperluan lain pun akan ambil waktu tidur si ibu. Bila masanya kaum ibu nak berehat kan? Sebab itu kita selalu dengar saranan yang wanita mengandung perlu dapatkan waktu tidur yang lebih baik. Sewaktu bersalin, tekanan fizikal dan tekanan emosi yang wujud dalam tiga fasa kehamilan boleh menyebabkan pada waktu tidur si ibu terganggu.
Kebanyakan ibu mengalami penat yang ketara semasa trimester pertama dan kedua tetapi ibu-ibu yang hamil pertama kali lazimnya tak tahu betapa seriusnya keadaan tersebut. Iya, mengandung memang mengganggu waktu tidur ibu-ibu terutamanya pada trimester pertama dan kedua. Kehamilan bukan sahaja mempengaruhi kuantiti tidur tetapi kualiti tidur seseorang wanita.
Perubahan tubuh badan wanita menyebabkan tidur menjadi lebih sukar. Ibu mengandung sepatutnya mendapatkan sekurang-kurangnya mendapatkan 8 jam tidur agar mereka mendapat 7 jam waktu tidur berkualiti. Apabila wanita hamil mendapat tidur tak berkualiti, kesannya bukan hanya keletihan tetapi mengakibatkan kurang tumpuan dan terlalu beremosi. Satu kajian yang menarik oleh professor dalam bidang kejururawatan di Universiti California, Kathy Lee, menyatakan ibu hamil yang tidak mendapat tidur yang cukup pada waktu malam memiliki 4.5 kali ganda kemungkinan untuk melahirkan anak-anak melalui C-section dan tempoh pembedahan adalah 10 jam atau lebih panjang berbanding wanita-wanita yang tidur lebih daripada tujuh jam.
SEBAB KELESUAN SEWAKTU HAMIL
Penyelidik masih mencari sebab utama mengapa wanita berasa lesu semasa kehamilan tetapi lazimnya ia dikaitkan dengan masalah hormone. Pada awal peringkat kehamilan, kadar progestron dalam tubuh badan meningkat. Progestron adalah hormone yang menyebabkan wanita berasa sedikit lesu. Sesetengah wanita juga akan merasai kesan penat.
Selain kesan perubahan hormone, masalah rasa mengantuk yang dirasai wanita turut disebabkan kesan psikologikal apabila uterus membesar seiring perkembangan fetus. Ditambah dengan penambahan berat badan dan cecair tubuh. Perkara ini membuatkan tubuh badan berusaha lebih keras kerana placenta sedang membekalkan keperluan-keperluan fetus, tekanan darah juga meningkat dan jantung mengepam darah dengan lebih pantas.
Kesan emosi turut memainkan peranan. Keseronokan dan impian ingin memiliki cahaya mata ditambah pula rasa takut untuk situasi kelahiran turut menjadi sebahagian sebab mengapa wanita mengandung lebih penat berbanding biasa.
Terdapat tiga peringkat kehamilan dan situasi-situasi gangguan tidur yang mungkin berlaku kepada ibu-ibu di luar sana.
Gangguan Tidur Trimester Pertama
Ketika di peringkat awal kehamilan, kadar progestron dalam tubuh wanita meningkat dan menyebabkan rasa mengantuk tetapi ketika peringkat ini juga, kekerapan untuk buang air kecil telah meningkat yang menyebabkan gangguan waktu tidur. Sewaktu trimester pertama, hormone yang mengawal fungsi pundi kencing tidak berfungsi dengan baik menyebabkan peningkatan kadar urin.
Bagi mengurangkan kekerapan buang air kecil, ibu-ibu hamil tidak sepatutnya mengehadkan pengambilan air pada waktu pagi kerana air membantu masalah sembelit dan bengkak-bengkak di bahagian kaki dan tangan, dua masalah yang biasanya berlaku kepada ibu-ibu mengandung. Tetapi ibu-ibu boleh mengurangkan pengambilan air pada waktu petang dan malam.
Bakal-bakal ibu juga sebolehnya cuba elakkan daripada penggunaan lampu-lampu yang terang untuk pencahayaan dalam bilik kerana ia menyukarkan ibu-ibu untuk tidur semula. Cubalah gunakan lampu-lampu bilik yang ada fungsi lampu malam dan boleh dimalapkan. Antara faktor lain yang boleh mengganggu tidur ibu-ibu adalah masalah morning sickness yang boleh berlaku sama ada pada malam atau pagi. Bagi melegakan masalah ini, sesetengah wanita digalakkan mengambil biskut kering sebaik sahaja selepas bangun daripada tidur.
Ibu-ibu hamil turut mengalami masalah bengkak payu dara yang menyebabkan kesukaran baginya untuk tidur dalam keadaan meniarap. Jika itu sudah menjadi kebiasaannya. Pada peringkat awla kehamilan juga, ibu-ibu akan merasakan sedikit panas kerana peningkatan kadar metabolisme tubuh. Ibu-ibu boleh mengurangkan suhu bilik tidur sama ada menggunakan kipas atau pendingin hawa, udara yang sejuk dapat memberikan keselesaan pada tubuh wanita dan dapat kurangkan bunyi dengkur pasangan kita. Tapi jangan tak tahu, bukan pasangan. Kita sahaja yang berdengkur, kita yang hamil ini pun biasanya berdengkur. Terutamanya pada peringkat trimester pertama dan terjadi kepada ibu-ibu yang ada masalah berat badan atau ada alahan.
Disebabkan banyak gangguan tidur yang berlaku sepanjang kehamilan, tidur seketika pada waktu pagi atau tengah hari adalah cara yang baik untuk mengatasi masalah waktu tidur yang tidak cukup. Tetapi cuba elakkan dari penggunaan suplemen-suplemen untuk membantu tidur seperti melatonin kerana takut kesan-kesan buruk yang datang jika diambil pada kadar yang tidak sepatutnya.
Gangguan Tidur Trimester Kedua
Trimester kedua biasanya adalah saat terbaik untuk kebanyakan wanita kerana perubahan hormone yang paling ketara berlaku pada trimester pertama dan trimester ketiga tetapi tidak pada trimester kedua.
Pada trimester kedua, lazimnya wanita hamil mengalami kekejangan otot terutama bagi mereka yang memiliki tekanan darah rendah dan kurang zat besi. Masalah ini akan dirasai pada waktu petang sehinggalah ke malam. Keadaan ini juga menjadi lebih serius pada trimester ketiga. Kekejangan otot dan urat berlaku ketika ibu hamil sedang berbaring atau sedang duduk tetapi tidak ketika dia berjalan. Memang keadaan ini tidak selesa dan menyukarkan tidur si ibu.
Masalah Gerd atau penyakit pencernaan juga biasanya mengganggu wanita hamil. Ketika proses kehamilan berlaku, uterus wanita menjadi lebih besar sehingga menekan perut yang menyebabkan kepedihan luar biasa.
Wanita yang sedang hamil digalakkan untuk tidur mengiring di bahagian kiri tubuh dengan lutut yang dibengkokkan sedikit untuk mengetasi masalah ini. Terdapat amalan lain iaitu dengan menambah bantal untuk mengelakkan asid perut untuk naik semula ke bahagian esofagus.
Mungkinlah sebabnya dikatakan wanita mengandung mengingati banyak perkara sewaktu tidur adalah disebabkan mereka selalu terjaga. Mungkin mimpi ngeri agaknya. Tak cukup tidur.
Gangguan Tidur Trimester Ketiga
Pada peringkat ketiga kehamilan, ibu-ibu lebih kerap menghadapi masalah pernafasan disebabkan faktor pertambahan berat dan gangguan pada saluran pernafasan. Wanita-wanita mengandung lazimnya digalakkan untuk menggunakan nasal strip atau alat pernafasan untuk mengatasai masalah bernafas pada malam hari.
Satu kajian mendapati di peringkat akhir kehamilan, ibu-ibu menghadapi masalah kualiti tidur berbanding ketika peringkat awal dan pertengahan kehamilan. Ibu-ibu lazimnya akan bangun pagi terlalu awal dan sukar untuk tidur pada waktu malam. Perkara ini berlaku disebabkan saiz perut dan fetus semakin membesar dan menghasilkan reaksi yang lebih aktif. Ibu-ibu perlu mencari posisi tidur yang sesuai untuk keperluan si ibu.
Penggunaan bantal kehamilan dapat memberikan sokongan yang diperlukan ibu-ibu untuk tidur. Ibu-ibu juga disarankan untuk tidur di sebelah sisi tanpa memberi tekanan kepada bahagian punggung, sendi pinggul dan pelvis. Sekiranya tidak memiliki bantal kehamilan, ibu-ibu boleh mengenakan bantal kecil di belakang pinggul dan bantal lembut di antara lutut bagi membantu meluruskan tulang belakang tanpa memberi tekanan yang terlalu banyak pada tulang belakang dan pinggul.