BUKAN senang untuk ibu bapa menerima kucing sebagai haiwan peliharaan. Ada juga antara mereka yang penggeli kepada haiwan berbulu ini. Mereka tak takut, takkanlah pula mereka takut kepada haiwan berbulu yang comel ini? Saya anggap mereka ini pernah berpengalaman buruk suatu ketika dahulu. Mungkin juga dicakar, diberi semburan yang tidak manis contohnya atau memang dari kecil tidak diajar untuk membela haiwan peliharaan. Hal-hal ini yang menyebabkan mereka agak skeptikal. Mungkin mereka lupa yang membela haiwan peliharaan ini satu terapi minda! Di bawah saya akan senaraikan seberapa banyak sebab bagaimana terapi “Si Bulu” ini membantu anak anda!
1. PELUANG MENEROKA KEHIDUPAN
Peluang untuk anak anda meneroka pelbagai perkara berkenaan kehidupan secara realiti. Tidaklah mereka duduk berbaring dengan permainan video saja! Selamat juga telefon bimbit anda daripada dipinjam, Jimat sikit elektrik daripada asyik kena cas telefon bimbit. Okey, serius saya cakap. Meneroka kehidupan di sini bererti mereka belajar erti kasih sayang dan kehilangan. Mereka yang kehilangan kucing saja yang tahu betapa berertinya kucing dalam kehidupan.
2. BELAJAR ERTI TANGGUNGJAWAB
Tahukah anda bahawa jangka hayat kucing secara puratanya boleh mencapai 12-18 tahun! Lama kan? Ini bererti tanggungjawab yang dipikul untuk menjaga haiwan peliharaan bukanlah mudah. Jika anak anda mula dididik untuk memelihara kucing sedari usia muda, mereka akan membesar sebagai insan yang bertanggungjawab dan kasih pada makhluk-makhluk bernyawa. Saya berani jamin!
3. MELATIH EMOSI DALAMAN
Bukan hendak cakap banyaklah, orang yang bela kucing ini lebih sensitif dan penyabar. Siapa yang bela kucing akan tahu betapa liciknya seekor kucing. Mereka akan sedaya upaya menyelinap keluar atau paling tidak cuba balas dendam sebab tuntutan mereka tidak dilayan. Orang yang bela kucing takkan lulus kalau mereka tak sabar.
4. MEMUDAHKAN PEMBELAJARAN
Bagi fakta ini, bukan saya sendiri yang cakap, tapi diambil daripada akhbar Utusan sendiri. Menurut Konsultan dan Kardiologis Paedetrik Hospital Pakar KPJ Ampang, Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi, kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran akan lebih fokus terhadap subjek yang diajar oleh guru.
5. MERAPATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN
Mereka yang memiliki kucing dalam keluarga akan memiliki topik khusus berkenaan kucing. Topik yang disampaikan itu juga tak pernah bosan. Saya berani jamin yang anak-anak akan rindukan kucing itu apabila berjauhan. Bercuti di luar negeri pun, akan selalu teringat-ingat tentang kucing yang ditinggalkan di rumah. Sudah makan ke belum budak bulu tu?
6. JADI PEMBERSIH
Tipulah kalau sesiapa yang bela kucing tapi tak pernah melekat bulu-bulu di baju. Kalau ada pun mungkin disebabkan sikap mereka yang pembersih. Kanak-kanak yang membela kucing akan menjadi orang yang sangat teliti dan pembersih. Ini kerana setiap kali mereka ingin keluar rumah, tentu mereka akan pastikan pakaian mereka kemas. Tak ada bulu kucing melekat. Barulah boleh hendak bergaya sakan.
7. LEBIH ARTISTIK
Jika kita perhati sifat kucing, kita akan dapat anggap kucing seperti makhluk misteri yang banyak menyimpan rahsia. Kadang-kadang, cara mereka memandang kita pun terlalu deep, entahlah perasaan saya saja. Mungkin agak keterlaluan untuk menyatakan anak anda akan jadi seniman agung dengan memelihara kucing saja. Kucing sebenarnya melatih empati diri. Itu adalah kehalusan sifat yang wujud dalam diri seorang ahli seni. Sebab itu, seorang yang menyayangi kucing menganggap kucing itu sebahagian daripada keluarga mereka. Mereka sangat sensitif.
Mark Twain seorang ahli sastera terkenal menganggap “seorang yang mengangkat seekor kucing di ekor akan mendapatkan pengajaran yang tak pernah ditemui oleh orang yang hanya membaca.” Oleh yang demikian, jangan takut untuk memegang tanggungjawab memelihara haiwan peliharaan. Saya berani jamin, akan ada kebaikan dan kerahmatan untuk anda.