PERASAN tak ibu atau mana-mana perempuan la, setiap kali pegang bayi baru lahir mesti rasa nak cium berkali-kali. Kalau dapat gomol bayi, lagi rasa syok.
Dek kerana kesedapan bau itu, kita selalu umpamakan bau bayi baru lahir itu sebagai bau daripada syurga.
Kita sendiri pun tak tahu kenapa bau bayi ini boleh timbulkan rasa seronok, tenang, dan gembira dalam diri kita. Walaupun bayi kita tak dimandikan pun, bau mereka tetap sedap dibau.
Sebab Rasa Gembira Bau Bayi
Kalau anda nak tahu, setiap kali wanita khususnya ibu menghidu bau bayi, otak automatik akan menghasilkan sejenis hormon buat kita gembira dan seronok yang dikenali sebagai hormone dopamine.
Hormon yang sama juga yang terhasil ketika kita bermain game, tengok drama, makan makanan yang sedap dan seumpamanya.
Jadi uniknya dalam kes ini, setiap kali ibu mencium anak, mereka mendapat hadiah berupa hormon dopamine. Lagi banyak ibu cium, lagi banyak hormon ini terhasil. Menarik kan?
Hikmahnya dengan adanya bau bayi ini, hubungan ibu dan bayi dapat dieratkan secara tidak langsung, Malah dikatakan bayi baru lahir juga mengenali bau ibunya.
Mengapa Bayi Ada Bau Sedap?
Memetik hellodoktor, secara asasnya, bayi tidak boleh bercakap dan melindungi diri mereka, jadi disebabkan itulah bayi mempunyai bau yang sedap.
Jadi cara bayi untuk memanggil ibu ayah mereka untuk melindunginya adalah dengan dua cara iaitu menangis dan mengeluarkan bau yang sedap.
Apatah lagi menjaga bayi bukan sesuatu senang dan agak memenatkan. Belum campur mendengar mereka menangis sepanjang masa, bangun tengah malam seumpamanya dan berbagai lagi. Jadi bayi memerlukan ibunya di sisi selalu.
Sekurang-kurangnya bau bayi ini mampu mengurangkan rasa kepenatan dan tekanan semasa menjaga bayi baru lahir.
Kalau anda nak tahu, hormon inilah membuatkan ibu tak senang duduk sekiranya meninggalkan bayi lama-lama walaupun kepada nenek bayi sendiri.
Ajaibkan perihal bau bayi ini? Bagaimanapun, seiring tumbesaran mereka, bau ini pun akan hilang.
Jadi buat ibu-ibu nikmatiklah detik kalau anda ada bayi kerana apabila besar nanti pasti anda merindui bau itu.
Kredit: Hellodoktor