BMI atau Body Mass Index (BMI) adalah bacaan yang memudahkan orang kebanyakan untuk mengira sama ada berat badan kita seimbang atau tidak. Mesti ada yang bertanya, penting ke untuk kita percaya sepenuhnya bacaan BMI ini?
Tetapi secara peribadi, bacaan ini bukanlah bacaan yang tepat untuk setiap orang menilai tahap kesihatan kerana kebanyakan atlet memiliki bacaan BMI yang tinggi disebabkan otot tubuh yang lebih besar (berat) berbanding individu biasa.
Bagi individu biasa dengan aktiviti bebanan yang ringan, bacaan BMI lazimnya dapat memudahkan dan lebih tepat dalam menentukan berat badan yang ideal.
Jika BMI yang kita sukat tidak sesuai dengan ketinggian dan nisbah berat badan yang disyorkan, ia menandakan kita dalam kategori obesiti, obesiti morbid atau kurang berat badan.
Jadi, bacaan ini juga akan mendedahkan kita kepada beberapa kemungkinan masalah kesihatan kronik. Macam mana pula?
Kalau nilai BMI kita terlalu tinggi, bermaksud kita berisiko menghadapi penyakit seperti darah tinggi, diabetes, atau penyakit jantung.
Lain pula kisahnya jika nilai bacaan terlalu rendah, berkemungkinan kita akan menghadapi penyakit seperti penurunan daya tahan badan terhadap jangkitan, badan akan cepat penat dan juga masalah anemia.
BMI adalah alat yang boleh membantu kita mengenal pasti berat badan ideal bagi seseorang tetapi ia bukanlah alat yang seratus peratus tepat untuk mengenal pasti tahap kesihatan seseorang. Jadi, amalkan gaya hidup yang sihat dan diet yang seimbang. Itu yang terbaik!

Mengetahui cara kira BMI
Senang saja kalau nak mengira BMI, kita cuma perlu mengetahui jumlah berat badan dalam nilai kilogram (KG) dan ketinggian dalam nilai meter (M).
Contoh pengiraannya seperti di bawah:
Berat badan: 55 kg
Ketinggian: 155 cm (1.55m)
Pengiraannya: 55 / (1.55 x 1.55) = 22.9
Ini bermakna nilai BMI adalah 22.9. Anda juga boleh mencuba membuat pengiraan nilai BMI anda melalui kalkulator BMI yang kami sediakan.
Anda sudah mendapat nilai BMI anda, jadi apakah makna nilai tersebut? Adakah ia sesuai dengan ketinggian dan berat anda?
Adakah anda perlu untuk mengurangkan mahupun menambah sedikit lagi berat untuk menjadikannya sebagai berat badan ideal bagi anda?
Kategori nilai BMI
Nombor apa yang keluar ni? Macam mana nak baca? Mudah sahaja, sama ada sesuai atau tidak nilai yang diperolehi, anda boleh melakukan semakan mengikut kategori BMI berdasarkan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
BMI <18.5
Ini bermakna anda mempunyai masalah kurang berat badan. Ia boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius jika dibiarkan.
Sebaiknya lakukan pemeriksaan dan dapatkan nasihat daripada doktor atau pakar pemakanan untuk membantu anda mendapatkan berat yang lebih ideal.
BMI 18.5 – 22.9
Berat badan anda adalah normal dan sesuai dengan diri. Namun itu tidak bermakna anda boleh bersenang-lenang.
Sebaliknya anda perlu memastikan berat anda terus berada dalam nilai BMI ini dengan melakukan aktiviti fizikal dan menjaga aspek pemakanan.
BMI 23 – 26.9
Amaran awal! Anda mempunyai berat berlebihan dan terdedah dengan risiko menghadapi diabetes jenis 2 dan penyakit kritikal lain.
Dapatkan pemeriksaan dan nasihat doktor mahupun pakar pemakanan bagi membolehkan anda memperolehi berat badan ideal.
Apa yang selalu diberi tekanan adalah memilih gaya hidup yang sihat!
BMI >27
OBESITI! Dengan berat badan ini, ia akan meningkatkan peluang untuk individu dalam julat bacaan 27 ke atas untuk menghadapi penyakit berbahaya seperti diabetes jenis 2 serta penyakit berkaitan jantung.
Lebih membimbangkan keadaan anda ini akan mengurangkan kualiti kehidupan secara keseluruhan. Adakah itu yang anda mahukan?
Anda disarankan untuk cuba rujuk pakar dietitian di hospital dengan sesi terapi makanan yang dapat membantu anda dengan memberi khidmat nasihat dan pemilihan aktiviti yang berupaya mengubah pandangan anda terhadap makanan!
Ubah gaya hidup anda sekarang!
Nilai kategori BMI ini adalah sesuai digunapakai oleh individu lelaki dan wanita dewasa, berusia 18 – 64 tahun.
Jadi bagaimana pula cara kira BMI bagi kanak-kanak dan juga remaja?
Cara kira BMI kanak-kanak & remaja
Ibu bapa yang mengetahui nilai BMI bagi kanak-kanak pasti dapat membantu mengenalpasti tahap tumbesaran si manja
Mengetahui nilai BMI si kecil pastinya akan membantu untuk menentukan sama ada tumbesarannya berada pada tahap yang sesuai atau sebaliknya mengikut peringkat usia.
Pengiraannya sama iaitu melibatkan berat (kg) dan tinggi. Cuma anda perlu merujuk carta graf yang berbeza.
Berikut adalah graf BMI untuk rujukan anda:
Graf BMI bayi lelaki 0 bulan hingga 2 tahun
Graf BMI bayi perempuan 0 bulan hingga 2 tahun
Graf BMI kanak-kanak lelaki 2 hingga 5 tahun
Graf BMI kanak-kanak perempuan 2 hingga 5 tahun
Graf BMI kanak-kanak dan remaja lelaki 5 hingga 19 tahun
Graf BMI kanak-kanak dan remaja perempuan 5 hingga 19 tahun
Kategori nilai BMI anak
Berdasarkan carta graf tersebut, ia menunjukkan kategori nilai BMI anak, iaitu:
- PUTIH, ia bermakna anak mempunyai berat badan normal dan sesuai dengan ketinggian serta tumbesarannya
- KUNING, ia bermakna anak mempunyai risiko untuk mengalami masalah berat badan berlebihan atau berat badan yang kurang
- MERAH, ia bermakna anak mempunyai masalah lebih berat badan atau kurang berat badan
- HIJAU, ia bermakna anak mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti
Cara kira BMI wanita mengandung
Pertambahan berat badan semasa berbadan dua bagi setiap wanita adalah berbeza.
Tetapi sebaiknya bagi wanita mengandung, anda disarankan untuk menggunakan cara pengiraan nilai Indeks Jisim Badan berikut bagi memantau dan mengawal pertambahan berat badan dengan lebih mudah.
BMI <18.5
Wanita dengan purata berat dalam kategori ini perlu mendapatkan pertambahan berat antara 12.5 hingga 18 kg sepanjang tempoh kehamilan
BMI 18.5 – 24.9
Bagi kategori ini, dicadangkan untuk menambah berat kira-kira 11.5 – 16 kg
BMI 25.0 – 29.9
Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan perlu memastikan pertambahan berat dalam lingkungan 7 – 11.5 kg sahaja
BMI >30
Bagi individu dalam kategori ini, pastikan berat anda bertambah tidak lebih daripada 5 – 9 kg sahaja atau anda terdedah kepada risiko penyakit kronik semasa hamil
Menjamin kehidupan lebih baik
Setelah kita mengetahui nilai bacaan BMI, terutamanya jika ia berada dalam kategori berat berlebihan atau kurang berat badan, sudah tentu kita akan berusaha memberikan yang terbaik daripada diet dan gaya hidup sihat, bukan?
Keadaan ini sudah tentu akan membantu anda untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan sihat.
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)