GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak merancang untuk mengubah garis panduannya yang menyarankan penggunaan pelitup muka fabrik, walaupun varian baharu coronavirus tersebar.
Ia berikutan mutasi strain berkenaan tersebar melalui cara yang sama dengan strain asal virus berkenaan.
Ketua teknikal COVID-19 di WHO, Maria Van Kerkhove, berkata beberapa varian baharu itu mungkin meningkatkan kebolehjangkitan, namun perkara ini diambil hasil kajian di Britain dan Afrika Selatan yang mengesan mutasi di negara itu.
“Masih belum ada sebarang petanda mengatakan cara virus ini berjangkit sudah berubah. Ia masih tersebar melalui cara yang sama,” katanya dalam sidang media di Geneva, pada Jumaat.
Jerman dan Austria mewajibkan penggunaan pelitup muka perubatan di dalam pengangkutan awam dan premis kedai, dan hanya membenarkan pelitup muka pembedahan atau FFP2 berbanding fabrik, susulan kebimbangan ancaman mutasi baharu virus COVID-19.
WHO menyarankan pelitup muka fabrik bukan perubatan boleh digunakan oleh orang ramai di bawah usia 60 tahun dan tidak memiliki masalah kesihatan lain.
Mengikut saranan yang dikeluarkan oleh World Health Organization, pelitup muka fabrik bukan perubatan masih boleh digunakan oleh orang ramai di bawah usia 60 tahun dan mereka yang tidak memiliki masalah kesihatan.
Kita turut menerima makluman bahawa kanak-kanak kebiasaannya susah untuk memakai pelitup muka perubatan yang dirasakan tidak selesa untuk kegunaan harian namun badan itu tetap menyarankan pelitup muka perubatan digunakan oleh petugas kesihatan, individu yang tidak sihat, mereka yang menunggu keputusan COVID-19 atau telah disahkan positif, dan mereka yang menjaga individu disyaki atau pesakit COVID-19.
Menurut laporan yang memetik ucapan Van Kerkhove berkata, WHO tidak merancang untuk mengubah perancangan atau saranan yang ditetapkan setakat ini, tetapi semuanya tetap bergantung kepada setiap negara kerana WHO tidak memegang sebarang keputusan eksekutif yang melibatkan kepimpinan negara.
“Kami akan terus meneliti bukti yang sudah ditemui, namun berdasarkan data dari negara yang memiliki varian virus ini, cara ia berjangkit tidak berubah.
“Jika ada perubahan, kami akan mengubah dan menperbaharui saranan WHO,” katanya, memaklumkan pelitup muka fabrik perlu memiliki tiga lapisan untuk memastikan perlindungan mencukupi.
Menurut garis panduan WHO untuk pelitup muka fabrik, lapisan paling dalam perlu menyerap air seperti kapas; lapisan tengah perlu dihasilkan daripada bahan polipropilena tanpa jahitan yang bertindak sebagai penapis; dan lapisan luar perlu kalis air seperti poliester.
Sumber: Berita Harian