SEMUA wanita yang sudah berumahtangga mengimpikan dikurniakan zuriat bersama suami yang dicintai.
Ada wanita diuji terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya, ada wanita pula bunting pelamin sebaik sahaja mendirikan rumah tangga. Ada pula, yang terpaksa mendapatkan bantuan pakar doktor melakukan rawatan tertentu.
Pelbagai cara, dengan kisah yang berlainan jua. Namun, niatnya hanyalah satu iaitu mahukan cahaya mata.
Kehamilan merupakan satu fasa yang berlainan dalam hidup wanita. Fasa ini penuh dengan perkara mengujakan, luar jangka, gembira, letih dan perih.
Setiap wanita pastinya berusaha menjaga kandungan sebaiknya agar cahaya mata itu selamat dilahirkan.
Pendek kata, wanita yang bakal bergelar ibu akan mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu kehamilan. Tidak kurang juga yang mempercayai pelbagai mitos-mitos yang didengar dari mulut ke mulut atau saranan kawan-kawan. Ini antara beberapa mitos-mitos yang ibu percaya..
1. Tidak Boleh Melakukan Hubungan Seks Ketika Hamil
Kedengaran aneh bukan saranan ini. Jangan tak tahu, ramai wanita yang mempercayai mitos ini dan tidak melakukan seks bersama suami ketika hamil.
Ramai wanita percaya melakukan seks boleh menyakiti janin dan menyebabkan keguguran. Faktanya, janin dalam rahim dilindungi mucus tebal yang menutupi serviks.
Selain itu, kantung amnion dan otot uterus yang kuat turut melindungi bayi. Malah, semasa hubungan berlangsung, alat kelamin lelaki tidak akan menjangkau lebih dari vagina.
2. Makan Durian Dan Nenas Boleh Menyebabkan Keguguran
Apabila disahkan hamil sahaja, ramai ibu hamil akan menjauhi dua buah ini iaitu durian dan nenas.
Ramai berpendapat durian bersifat panas dan boleh membahayakan kandungan.
Sebenarnya, seperti durian. Ibu hamil tidak disarankan ambil dengan kuantiti yang banyak kerana kandungan gulanya yang tinggi selain boleh menyebabkan ibu hamil loya dan kembung perut kerana gas daripada durian.
Namun, durian juga ada khasiat tersendiri untuk ibu hamil seperti akti bakteria dan anti fungus.
Manakala nenas pula dilarang kerana bersifat asid. Menurut pakar dietitian, nenas boleh dimakan sedikit namun tidak boleh berlebihan kerana memberi kesan ketidak selesaan kepada perut yang sensitive.
3. Jangan Makan Kicap Minum Kopi, Nanti Kulit Anak Gelap
Ini adalah mitos paling mengarut bukan?
Dek kerana mitos tahyul ini, ada ibu-ibu yang menjauhi makanan berwarna gelap seperti kopi, kicap dan seumpamanya.
Hakikatnya, makanan yang kita makan tidak mempengaruhi kulit anak sebaliknya genetik kulit ibu dan ayah.
4. Perut Ibu Hamil Menunjukkan Jantina Bayi
Ini antara mitos paling popular sekali dan rata-rata wanita percaya mengenainya. Ini kerana tekaan berdasalkan bentuk perut ini selalunya betul.
Menurut kepercayaan, bentuk perut yang memanjang kandungan adalah lelaki manakala perut kelihatan melebar, adalah nak perempuan.
Logiknya, jantina bayi tidak boleh dilihat dengan pandangan mata kasar dan tinggi rendah bentuk perut adalah berdasalkan posisi janin dalam kandungan.
5. Pinggul Besar Senang Bersalin
“Wow, besar pinggul kamu. Mudah bersalin nanti!”
Pernah dengar ungkapan ini? Jangan khuatir buat pemilik pinggul kecil kerana saiz pinggul tidak menentukan mudahkan proses bersalin. Sebaiknya, teknik meneran yang betul memudahkan Ketika kelahiran.
6. Jangan Cederakan Haiwan, Nanti Anak Kenan
Ini merupakan pantang larang orang Melayu untuk wanita hamil. Suami atau isteri dikatakan tidak boleh berbuat jahat atau membunuh haiwan kerana dipercayai boleh memboleh mendatangkan ‘kenan’ atau ‘badi’ kepada bayi yang dilahirkan.
Kenan adalah keganjilan tertentu pada gerak geri atau kelakuan. Manakala badi merupakan kesan buruk yang dialami seseorang, kerana mendekati bangkai atau mayat yang dianggap keramat.
Ini kerana, masyarakat dahulu percaya, haiwan-haiwan tertentu mempunyai semangat tertentu yang dianggap mistik.