SEMENJAK pandemik Covid-19 tercetus di seluruh dunia, banyak negara telah mewajibkan pemakaian topeng muka atau mask di tempat awam termasuk Malaysia.
Jika di negara kita sendiri, sekiranya gagal mematuhi peraturan itu boleh dikenakan denda sebanyak rm1,000.
Langkah agresif ini diambil bagi mengurangkan penularan risiko dijangkiti virus Covid-19.
Di pasaran sendiri, ada macam-macam jenis mask bermula dengan harga rendah hinggalah harga tinggi mengikut jenama dan jenis kain yang digunakan.
Dalam mencari mask yang terbaik dan selesa, tahukah anda sebenarnya penggunaan mask yang berterusan ini boleh menimbulkan masalah kulit wajah.
Eh jangan pula, kami sebut ini anda tidak mahu lagi memakai mask. Info kami kongsi ini supaya anda mengambil lebih penjagaan kulit anda.
Punca masalah kulit ini terjadi salah satunya adalah kurangnya laluan udara pada wajah yang menyebabkan kelembapan berkumpul pada wajah.
Ini kami kongsikan masalah-masalah kulit yang boleh terjadi.
Kulit jadi gatal dan kering.
Pemakaian mask yang berterusan boleh buatkan kulit jadi tidak selesa dan membuatkan gatal-gatal.
Kalau mask diperbuat daripada kapas pula, ianya akan mengeringkan dan menyerap minyak semula jadi kulit anda.
Untuk mengurangkan masalah ini, anda kena rajin pakai krim pelembab yang mengandungi ceramide, gylcerin dan hyaluronic acid.
Jerawat
Masalah kulit ini adalah yang paling diperakui ramai orang semenjak pemakaian mask.
Rata-rata mengadu dagu dan kawasan area pipi mereka dinaiki jerawat.
Hal ini terjadi kerana bakteria dan mikroorganisma lain berkumpul dan membiak pada mask muka kita memudahkan jerawat terjadi.
Jadi buat yang pakai mask kain, pastikan kerap basuh dan tidak diletakkan di tempat yang terbiar.
Pastikan jaga wajah anda dengan set kecantikan muka yang sesuai bagi menghilangkan jerawat.
Rosacea
Keadaan ini adalah di mana saluran darah pada wajah mengembang dan membesar menyebabkan pipi, dahi, hidung dan dagu kemerah-merahan.
Penyebabnya adalah kerana ada haba dan kepanasan wajah apabila memakai mask dalam tempoh lama.
Apa yang boleh anda lakukan apabila terjadi situasi ini, sejukkan kulit dengan merenjis sedikit air sejuk pada wajah.
Sekiranya nampak teruk, cuba dapatkan ubat yang sesuai daripada doktor.
Kredit: Hellodoktor.com