Fahami mengenai jangkitan kulat pada faraj
Pernahkah ibu-ibu mengalami jangkitan kulit atau yis pada bahagian faraj? Ia tidak berbahaya. Namun ia boleh menyebabkan ibu-ibu rasa tak selesa. Secara umum, jangkitan kulat disebabkan oleh kulat Candida albicans yang boleh sahaja berulang kembali. Dianggarkan 3 daripada 4 orang wanita akan mengalami sekurang-kurangnya satu jangkitan yis sepanjang hayat mereka. Manakala lebih 45% wanita akan mendapat 2 atau lebih jangkitan.
Bagi wanita hamil, jangkitan kulat pada faraj lebih kerap belaku. Kajian juga mendapati 20% wanita yang tidak hamil mempunyai jangkitan kulat Candida dalam farjah manakala angka tersebut meningkat sehingga 30% semasa kehamilan. Wanita hamil sering mendapat jangkitan kulat adalah disebabkan peningkatan dan penurunan kadar hormon estrogen dan progestron dalam tubuh badan dalam tiga peringkat trimester.
Punca jangkitan kulat pada faraj
Jangkitan ini biasanya berlaku apabila jumlah kulat yang normal dalam faraj meningkat secara berlebihan sehingga menyebabkan timbulnya simptom-simptom tertentu.
Faktor paling biasa membuatkan wanita cenderung mendapat jangkitan kulat pada faraj termasuklah faktor:-
- Kehamilan
- Penggunaan pil kawalan kelahiran, antibiotik, atau kortikosteroid
- Gangguan yang melemahkan sistem ketahanan badan, seperti HIV
Jangkitan Kulat Semasa Kehamilan
Semasa mengandung, perubahan tahap hormon mengubah keseimbangan pH di dalam faraj. Ini mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk yis membiak. Bagi wanita tidak hamil yang mempunyai sistem imun normal, jangkitan yis jarang menyebabkan komplikasi serius. Malah, untuk wanita hamil, jangkitan kulat pada faraj biasanya tidak menyebabkan kesan berbahaya pada bakal ibu.
Walau bagaimanapun, anda boleh menyebarkan kulat ini kepada bayi semasa proses kelahiran normal. Oleh sebab itu, penting untuk ibu hamil mendapatkan rawatan sewajarnya. Jangkitan yis yang berlaku pada bayi, kebanyakannya terjadi pada kawasan sekitar bahagian mulut dan lampin.
Risiko Komplikasi Serius Pada Bayi
Walaupun risiko komplikasi serius pada bayi arang berlaku tetapi ada juga sesetengah kes yang menyebabkan jangkitan kulat boleh merebak ke seluruh badan bayi sehingga menjejaskan fungsi pernafasan si manja. Keadaan ini disebabkan faktor sistem imun tubuh bayi yang belum berkembang sepenuhnya. Situasi ini biasanya terjadi kepada bayi yang ada masalah sistem daya tubuh termasuklah bayi yang tidak cukup bulan atau mempunyai jangkitan sebelumnya.