Kebanyakan ibu bapa di Malaysia dilihat lebih suka untuk mendukung bayi atau memangku anak-anak untuk tujuan menjaga anak-anak. Kita rasa anak-anak yang berada lebih dekat dengan kita lebih selamat dan mudah untuk menidurkannya. Bahkan, sewaktu dalam kereta bagi perjalanan jauh, bukankah situasi itu dikatakan lebih selamat?
Ramai ibu bapa anggap duduk di atas riba cukup untuk melindungi bayi daripada bencana kemalangan. Faham, ibu adakalanya rasa tidak sampai hati melihat pergerakan bayi terbatas dan tidak selesa sewaktu bayi terikat di car seat bayi tetapi sebenarnya itulah yang sepatutnya dilakukan. Banyak perkara yang mesti diajar kepada ibu bapa. Termasuklah daripada cara penggunaan kerusi bayi dan pemilihan kerusi yang sesuai untuk kegunaan bayi.
Ibu bapa sepatutnya memandang serius cara penggunaan “car seat” untuk bayi dan pastikan kerusi tersebut memiliki peralatan yang lengkap untuk memberi keselesaan kepada bayi sepanjang perjalanan. Asasnya adalah tali keselamatan yang teguh dan dapat memegang anak-anak yang masih kecil dengan kemas. Jika ada tempat menggantung anak-anak patung atau permainan lebih baik sebab anak-anak akan rasa seronok untuk kekal dalam kerusinya.
“Menurut Kajian yang dijalankan MIROS, bayi akan tercampak ke depan apabila kenderaan diberhentikan secara mengejut pada kelajuan tinggi, bahkan impaknya boleh dirasai ketika kenderaan berada pada kelajuan 30 km sejam. Kebanyakan kematian adalah sebab langsung daripada impak tersebut.”
Disebabkan itu juga, kerusi keselamatan yang moden biasanya dipasang berlawanan arah iaitu kepala bayi menghadap belakang kereta. Ini menunjukkan pentingnya keselamatan sebagai aspek utama dalam pemilihan kerusi keselamatan bayi dalam kenderaan.
YANG MANA SESUAI?
Sebenarnya perkara penting yang mesti ibu bapa pastikan sewaktu membeli car seat kanak-kanak adalah unsur praktikaliti. Maksudnya bukan hanya kita yang boleh mengendalikan kerusi tersebut tetapi juga pasangan kita. Pemilihan kerusi juga mesti dibeli bersesuaian dengan peringkat umur anak-anak dan berat bayi. Pastikan kita baca buku panduan yang diberi semasa kita beli car seat tersebut. Jangan fikirkan jenama sahaja tetapi fikir kerusi mana yang selamat, praktikal dan ekonomikal untuk anak-anak yang akan membesar. Antara tips-tips lain yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan keselamatan anak-anak semasa dalam kenderaan adalah:
BOLEH
- Gunakan car seat yang betul dan bersesuaian dengan berat dan saiz kanak-kanak.
- Gunakan car seat yang mematuhi piawaian terkini.
- Pastikan car seat tersebut sesuai dengan kereta anda
- Pastikan car seat itu diletakkan dengan selamat bagi setiap perjalanan.
- Dudukkan anak anda di bahagian belakang kereta sepanjang perjalanan.
- Periksa car seat dengn kerap bagi memastikan tiada kerosakan.
TIDAK BOLEH
- Jangan biarkan anak anda duduk dalam kenderaan bergerak tanpa car seat atau tanpa penjaga walaupun berada dalam perjalanan yang dekat.
- Jangan pasang car seat di tempat duduk penumpang hadapan kalau ada airbag.
- Jangan beli car seat terpakai kerana barangkali ia mempunyai bahagian yang hilang.
- Jangan gunakan car seat apabila kereta telah mengalami kemalangan.
- Jangan bawa anak dalam dakapan anda atau letakkan tali pinggang sekeliling anda berdua kerana apabila kemalangan, ia akan menyebabka n kecederaan kepada anda berdua.
- Jangan mengubahsuai car seat.