Ramai dalam kalangan kanak-kanak yang suka minuman berais sewaktu tengah hari yang hangat. Terasa menyamankan bila ais sejuk tu mengalir di tekak. Apabila bibir kering, membasahkan bibir dengan ais dingin adalah antara ubat paling mujarab tanpa meninggalkan kesan negatif terhadap kesihatan kita.
Tapi macam mana pula sekiranya kita makan ais yang betul-betul baru keluar daripada peti sejuk? Adakah kesannya baik atau tak?
Ada satu istilah dalam perubatan yang merujuk kepada ketagihan memakan ais yang dinamakan “Pagophagia”. Bahkan tabiat mengunyah ais ini ternyata menunjukkan masalah nutrisi tubuh badan. Bahkan, tabiat makan ais turut membawa kepada masalah pergigian seperti gigi hilang kilat (enamel loss) dan gigi berlubang.
Antara Punca Anak-Anak Suka Makan Ais adalah disebabkan:
Anemia: Kekurangan zat besi
Sebab pertama ketagihan ais berlaku adalah disebabkan faktor kekurangan zat besi dalam badan.
Anemia berlaku apabila darah seseorang tidak mengandungi sel darah merah yang mencukupi. Apa tugas sel darah merah? Untuk membawa oksigen kepada jantung dan tisu-tisu tubuh. Tanpa oksigen, kita tentunya akan berasa penat dan sukar bernafas.
Individu yang kekurangan zat besi atau pun mengalami masalah anemia kekurangan Iron yang diperlukan untuk pembinaan sel darah merah yang sihat. Tanpa sel darah merah, macam mana oksigen nak dipindahkan kepada anggota tubuh yang lain?
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Melelissa G. Hunt Dalam Medical Hypothesis telah mengeluarkan satu teori yang menyatakan Pagophagia menjadi satu proses yang membantu neuropsikologikal seseorang yang ada masalah kekurangan zat besi atau anemia.
Dalam kajian tersebut, ais dikatakan mampu mempercepatkan kesan agar otak menghantar lebih banyak zat besi kepada otak. Lebih banyak darah ke otak bermakna lebih banyak oksigen. Jadinya, mereka akan berasa lebih tenang dan dapat berfikir dengan relaks.
Iya, makan ais dapat membantu pesakit anemia tetapi tidak memberi sebarang kesan kepada mereka yang tidak menghidapi sakit yang sama.
Macam Mana Nak Diagnos Sekiranya Kita Ketagihan Ais?
Sekiranya kita sudah membentuk tabiat mengunyah ais selama lebih daripada sebulan dan tidak berhenti, apa kata jumpa doktor. Kalau kita mengandung, lebih cepat berjumpa doktor untuk ujian darah lebih baik. Takut kalau-kalau tubuh badan ibu-ibu mengalami kekurangan vitamin dan mineral yang diperlukan sewaktu hamil.
Kebiasaanya doktor akan melakukan ujian darah dan periksa sama ada ada faktor kekurangan zat besi atau ada kesan pendarahan yang berlaku tetapi tak nampak pada mata kasar.
Apa Kesan Ketagihan Ais?
Mungkin kita tak sedar, tetapi tabiat memakan ais boleh buatkan kita makan ais lebih banyak berbanding biasa. Individu yang mengalami Pagophagia sahaja yang akan faham masalah ini. Ada yang boleh makan berdulang-dulang ais. Siap tambah air dalam bekas aiskrim untuk dibekukan. Stok ais katanya.
Masalah Gigi
Lapisan luar gigi yang berkilat atau pun enamel adalah bahagian gigi yang paling kuat dan dapat melindungi bahagian dalam gigi daripada berkarat atau rosak. Apabila enamel mereput dan rosak, gigi akan menjadi lebih sensitif terhadap makanan atau minuman sejuk dan panas. Risiko kaviti pastinya meningkat. Semuanya boleh berlaku disebabkan budaya makan ais yang keterlaluan.
Masalah gigi mungkin takkan berlaku dalam tempoh satu malam, seminggu atau pun sebulan tetapi dalam jangka mas panjang, ia akan memberi kesan negatif kepada tubuh badan kita.
Ada baiknya kita tahu simptom makan ais ada kaitannya dengan penyakit anemia, kerana kesan anemia cukup teruk sekiranya tak dirawati. Antaranya termasuklah:
- Masalah jantung seperti jantung tidak berfungsi
- Masalah sewaktu melahirkan cahaya mata termasuklah kelahiran bayi pramatang dan bayi kekurangan zat
- Tumbesaran kanak-kanak yang terjejas dan lambat
Apa Yang Boleh Kita Lakukan?
Sekiranya kita mengalami ketagihan ais, kita kena cari maklumat mengapa tiba-tiba tabiat kita begitu. Adakah kita memerlukan makanan tambahan yang membantu masalah kekurangan zat besi sebelum kita dapat hentikan tabiat memakan ais yang sebelumnya sudah jadi kebiasaan.
Kalau sudah terlanjur sakit gigi atau rahang pedih disebabkan selalu mengunyah ais, apa kata kita berjumpa dengan doktor gigi. Mereka akan dapat bantu anda untuk elakkan daripada menerima kesan yang lebih buruk terutamanya kesan jangka masa panjang.
Kesimpulan
Tabiat mengunyah ais boleh memberikan pelbagai komplikasi dan menandakan beberapa hal tentang kesihatan seseorang. Tetapi ia akan menganggu aktiviti sosial sebab kita terlalu bergantung dengan tabiat memakan ais untuk jadi lebih produktif dalam melakukan sesuatu tugasan. Saranan kami, boleh jumpa doktor untuk buat semakan darah supaya masalah ini dapat diatasi dengan segera.