Satu kajian telah dibuat melalui kutipan sampel isi rumah oleh World Vision, sebuah pertubuhan kemanusiaan memberi fokus kepada isu kanak-kanak mendapati 19 peratus kanak-kanak di Malaysia berdepan tekanan teruk dengan lima peratus kanak-kanak mengalami masalah mental sewaktu tempoh PKP berlangsung.
Bila difikirkan semula, keadaan ini berlaku disebabkan proses menghadiri terapi kanak-kanak perlu mendapat persetujuan daripada ibu bapa dahulu. Jadinya, akan berlaku situasi rumit.
Datin Lisa Surihani dan Datuk Aaron Aziz yang menghadiri program Ibu Bapa Bantu Remaja Bina Pengalaman Positif Dalam Talian telah berkongsi keprihatian mengenai kesihatan mental anak-anak. Program itu telah dijalankan secara dalam talian sempena pelancaran Panduan Instagram Untuk Ibu Bapa di Malaysia. .
Dalam temubual yang dijalankan, Lisa dan Aaron kedua-duanya telah menyatakan perihal kepentingan ilmu pengetahuan dan mengubah persepsi masyarakat mengenai masalah mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Lisa berkata, ibu bapa perlu didorong melakukan perbualan terbuka dengan anak-anak demi kesejahteraan mental dan keselamatan dalam talian.
“Lebih ramai anak-anak remaja aktif dalam talian kerana pandemik COVID-19. Jadi, pembabitan ibu bapa dalam topik keselamatan dalam talian dan kesejahteraan mental menjadi lebih penting sekarang.
“Kita perlu mulakan perbualan dengan anak-anak sejak usia muda agar ia menjadi sebahagian daripada sesi pembelajaran dan perkembangan mereka.
“Dengan adanya pengetahuan dan maklumat daripada pihak profesional serta kumpulan sokongan mengenai kesejahteraan mental, ibu bapa berupaya mewujudkan perbualan mengenai topik ini bersama anak-anak,” memetik akhbar Berita Harian.
Topik ini sememangnya perlu diperkatakan kerana ibu bapa hari ini terlalu sibuk memikirkan masalah diri sendiri yang berkait dengan isu ekonomi dan sara keluarga. Tanpa menyedari masalah yang bersifat ekstrinsi ini lambat-laun akan membabitkan kesihatan mental anak-anak. Sebab itu persekitaran hidup yang harmoni perlu diberi perhatian utama dalam mendidik anak-anak.
Lisa yang juga Duta Kebangsaan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) berkata, biarpun anak-anaknya masih kecil, tidak bermakna dia tidak boleh berbual dengan mereka.
Lisa dalam temubual yang dijalnkan telah memberitahu kepentingan memantau dan membimbing penggunaan gajet oleh anak-anak. Sebaiknya komunikasi secara verbal perlu dilakukan oleh ibu bapa supaya anak lebih selesa untuk berkomunikasi.
“Anak-anak saya berusia lima tahun dan tiga tahun. Mereka terdedah dengan gajet biarpun tidak ada media sosial.”
Tambah Lisa, dia mengakui bahawa dia mengehadkan penggunaan gajet anak-anak dan memastikan platform internet perlu digunakan dengan hemat dan maklumat yang ingin dicari anak-anak perlu dipantau rapi oleh ibu bapa.
Datuk Aaron Aziz berpendapat ibu bapa memainkan peranan besar dalam membimbing kesejahteraan mental. – Foto IG Aaron Aziz
Pelakon popular yang membintangi filem KL Gangster ini memiliki maksud yang sama dengan Lisa Surihani. Aaron Aziz menyedari tanggungjawabnya sebagai bapa kepada tiga anak. Katanya lagi, dia akan sedaya-upaya membahagikan masa dengan memantau aktiviti anak-anak terutamanya yang melibatkan gajet dan aplikasi media sosial.
“Penting untuk ibu bapa memahami dan mempunyai pengetahuan mengenai tanggungjawab ketika menggunakan media sosial.
“Kita sebagai ibu bapa memainkan peranan besar untuk membimbing anak-anak dan memecahkan tabu masyarakat mengenai kesejahteraan mental. Ini penting agar anak-anak kita dapat meluahkan perasaan dan mendapatkan bantuan diperlukan,” katanya.
Aaron Aziz menegaskan bahawa dia dan isteirnya kerap kali memantau apa yang ditonton oleh anak-anak dalam internet kerana menyedari pengaruh negatif yang boleh didapati melalui penggunaan yang berlebihan.
Mengakui bahawa penyakit mental tidak memiliki simptom yang dapat dilihat secara fisiologi, Aaron Aziz seboleh-bolehnya mengharapkan ibu bapa di luar cuba mengesan perbezaan sikap anak-anak terutamanya mereka yang berada di usia remaja.
RealTalk Instagram adalah inisiatif diperkenalkan November tahun lalu untuk mewujudkan perbualan normal mengenai kesejahteraan mental dalam kalangan remaja.
Kempen itu yang menggunakan tanda pagar #RealTalk mendapat kerjasama syarikat Animasi, Les’ Copaque dalam berkongsi maklumat dan menerapkan kesedaran mengenai keselamatan dan alat dalam talian yang
Untuk meningkatkan pembabitan ibu bapa, kempen #RealTalk bekerjasama dengan syarikat animasi, Les’ Copaque untuk berkongsi maklumat dan menerap kesedaran mengenai keselamatan dan alat dalam talian yang ada bagi memupuk pengalaman positif ketika melayari internet.