BERCAKAP tentang cinta, semua orang akan membayangkan yang indah-indah. CInta mengingatkan kita pada bait-bait lagu yang membawa memori tentang seseorang, keindahan cinta dalam puisi seperti puisi “Kekasih” nukilan Usman Awang atau “Aku Ingin” karya Sapardi Djoko Damono bahkan dalam karya-karya seni, cinta merupakan subjek yang terlalu halus dan suci sehingga kerap diperkatakan.
Semua orang mencari cinta biarpun untuk diberi atau menerima. Tentunya setiap pasangan yang berkahwin akan mengharapkan kedua-duanya. Cinta kekal dan berpanjangan sehinggalah dirinya menjadi debu di tanah kelak. Begitulah hebatnya cinta.
Tetapi dalam perkahwinan, nilai-nilai romantisisme dalam perkahwinan boleh berubah dan pudar ditelan waktu. Tetapi bukanlah bererti tidak ada cinta tapi pengertian tentang cinta akan mula berubah-ubah.
Pada peringkat awal perkahwinan, kita berada dalam alam yang cukup indah dan menghangatkan iaitu alam cinta yang bersifat “dambaan” iaitu alam perasaan yang mengharapkan untuk sentiasa bersama dan merindui setiap rangkulan serta peluk kasih pasangannya.
Namun pada tahap kedua sesudah beberapa tahun usia perkahwinan, saya menggelarnya sebagai “cinta seperjalanan” atau companionate love iaitu perasaan halus yang terlalu sederhana. Cinta seperjalanan adalah perasaan yang mendalam terhadap pasangan atas dasar tanggungjawab sebagai suami atau isteri dan perhubungan jiwa yang saling memahami dan mengizinkan baik buruk pasangan dalam kehidupan kita.
Bagi memelihara perasaan cinta untuk terus berpanjang, setiap manusia perlu berpegang kepada beberapa perkara yang menjadi landasan kepada cara seseorang memiliki empati dan nilai cinta dalam diri mereka.
#1. Komitmen
Dalam sesuatu perhubungan, komitmen adalah perkara paling penting dalam mengikat perasaan cinta. Seseorang yang menjaga komitmen dan janji adalah seseorang yang boleh kita bersandar nasib dan masa hadapan. Naik dan turun cinta dalam sesuatu rumah tangga adalah perkara yang akan dialami oleh setiap pasangan. Cinta boleh pudar dan kembali berputik apabila kita menyedari pasangan kita seseorang yang memegang amanah dan janji selama berada dalam ikatan. Kerana amanah dan tanggungjawablah pasangan akan saling mencinta dan dapat mempertahankan perhubungan.
#2: Komunikasi
Apabila kita bercakap tentang rumah tangga yang baik, semua orang akan bersetuju bahawa komunikasi memainkan peranan penting dalam perhubungan. Apabila kita ada komunikasi yang baik, menjadi pendengar dan penutur yang baik, kita akan rasakan perhubungan yang kita bina memiliki jaminan dan kekuatan untuk terus berpanjangan. Komunikasi yang baik menjadikan kita lebih terbuka untuk menyuarakan rasa tidak senang dan ingin menuntut perubahan dalam kehidupan berumah tangga. Kebanyakan isu rumah tangga bermula apabila kurangnya komunikasi dan lebih memilih untuk memendam perasaan apabila sesuatu konflik berlaku.
3#: Meluangkan Masa Bersama
Apabila kita ada masa bersama dan lakukan perkara baru, kita akan dapat merasakan kesegaran dalam perhubungan. Mungkin kita tak pernah lakukan perkara-perkara romantis selama usia kita berkahwin dengan pasangan. Tiba-tiba kita lakukan kejutan dengan merancang makan malam romantis atau percutian berdua tentu sahaja dapat membakar api cinta yang selama ini malap.
4# Menggunakan Bahasa Yang Tertib
Cuba kita ingat balik macam mana cara kita berkomunikasi dengan pasangan? Mungkin ada masanya kita terlupa bahawa nilai sopan dan tertib dalam pertuturan penting supaya pasangan kita tidak berjauh hati atau hilang rasa hormat.
Bahasa meunjukkan watak peribadi seseorang. Penggunaan bahasa yang tidak sopan akan membuatkan pasangan kita tidak menjadi tidak selesa, malu bahkan terguris hati.
Sebab itulah digalakkan untuk memberi gelaran yang baik-baik. Selalu memberikan kata-kata pujian walaupun perkara yang ringkas seperti “sedap masakan sayang hari ini.” atau “sayang nampak cantik setiap hari!” Kata-kata yang baik adalah doa dan galakan supaya dapat memberikan kegembiraan dalam hati pasangan.
5# Berikan Ruang Untuk Pasangan Berfikir
Bukan setiap masa kita perlu bersama. Ada masanya, kita akan rasa perlunya masa untuk bersendirian atau “personal space” terutama apabila berlaku perselisihan dalam hidup berumah tangga.
Kita mesti memberikan ruang yang wajar mengikut personaliti pasangan. Jika pasangan kita jenis yang perlukan masa bersendirian, kita berikan dia masa. Jika dia perlu lekas dipujuk, kita kena bersegera untuk pastikan pasangan kita tidak berjauh hati.
Ada masanya kita perlu berikan pasangan ruang untuk dia bergerak. Jangan terlalu mengongkong. Selama mana kita mempercayai pasangan dan yakin diri kita dan pasangan adalah insan yang memegang kuat kepada amanah dalam perkahwinan, tidak ada sebab untuk kita khuatir.
#6: Menghormati Orang Tua dan Keluarga
Dalam perkahwinan, kita bukan sekadar mengikat perhubungan dengan isteri tetapi dengan seluruh ahli keluarganya.
Mungkin kita terlupa bahawa nilai hormat kepada orang tua adalah satu nilai yang besar dalam kehidupan seseorang yang matang berfikir. Kita tidak boleh jadi individu yang mementingkan diri dan terlalu melebihkan keluarga sendiri. Buat perancangan rapi supaya si isteri atau suami tidak berjauh hati dengan sikap kita.
Sikap mengambil berat terhadap keluarga pasangan terutamanya orang tua pasangan kita sangat penting terutamanya soal restu.
Dalam setiap yang kita lakukan, restu ibu bapa adalah perkara yang akan tentukan mudah atau sukarnya perjalanan kita di dunia. Itulah yang saya pegang selama ini.
#7 Menjaga Perhubungan Dengan Tuhan
Seseorang yang menjaga perhubungan dengan manusia perlu menjaga perhubungan dengan Tuhannya. Nabi Muhammad S.A.W. Dalam hadisnya meriwayatkan ‘hablumminallah’ (hubungan dengan Allah s.w.t.) dan ‘hablumminannas’ (hubungan dengan manusia). Konsep takwa inilah yang diajarkan oleh baginda supaya kita amalkan dalam segenap aspek kehidupan sama ada sewaktu bersendirian atau ketika beramai-ramai.
Apabila kita mengamalkan perintah Allah sebagaimana yang diajar oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W. tentu kita sudah miliki kompas pemandu arah yang lengkap dalam memelihara perhubungan dengan pasangan.