MANA-mana ibu, kalau ada anak kecil demam mesti jadi tak senang duduk sebab kasihan tengok anak. Jadi pastinya kita akan jaga anak sebaiknya dengan beri mereka ubat doktor mengikut waktu yang diperlukan.
Kebiasaanya bila anak demam akan datang sekali dengan pakej selsema. Namun, doktor kebiasaannya tidak memberi ubat selsema jenis makan sekiranya bayi kita berusia 2 tahun kebawah.
Kita pun jadi hilang punca macam mana nak kurangkan selsema anak. Lagi-lagi bila tengok anak susah bernafas dan hingus meleleh 24 jam.
Bagaimanapun doktor ada menyarankan membeli ‘Semburan Hidung’ (Sterimar Nasal Spray). Ubat jenis ini adalah kaedah semburan berasaskan air laut semula jadi yang telah diproses dan selamat untuk bayi bawah 2 tahun. Cara ini dapat melegakan pernafasan hidung yang tersebut dan mencairkan hingus itu tadi.
Selain kaedah ini, ada petua-petua boleh ibu lakukan untuk kurangkan selsema bayi anda tanpa menggunakan ubat. Antaranya:
1. Garlic Steaming
Garling Steaming atau wap bawang putih ini dikatakan mampu melonggarkan kahak bayi dalam paru-paru. Ini kerana bawang putih mempunyai antibiotik semula jadi dalam membunuh bakteria meyebab batuk dan selsema.
Caranya bakar bawang putih dan kemudian ketukkan bawang putih sebelum dimasukkan ke dalam air panas. Halakan muka bayi ke permukaan wap. Anak akan menangis sedikit kerana merasa tidak selesa jadi ibu kena bersabar mendengar tangisan itu.
2. Bawang Merah.
Mudah sangat cara ini. Anda hanya perlu kupas dan tumbuk bawang merah itu hingga mengeluarkan jus atau bau kuat. Letak di dalam piring dan tinggalkan berdekatan tempat tidur. Cara ini juga untuk matikan bakteria.
3. Air Kunyit
Caranya anda hanya perlu oleskan kunyit yang dah dikopek kulitnya pada hidung. Olesan itu akan membuatkan hidung bayi anda sedikit kuning. Selain itu boleh juga dioleskan pada dada atau belakang badan bayi.
Cara ini boleh melegakan hidung bayi yang tersumbat dan melegakan pernafasan. Ini kerana kunyit mempunyai antibiotik semulajadi yang membantu sistem imun melawan selsema.
4. Kerapkan penyusuan atau minum air yang banyak.
Susukan bayi selsema dengan lebih kerap dan beri mereka minuman air masak untuk elak dehidrasi. Buat yang susukan anak guna susu ibu, ianya lebih bagus kerana terbukti boleh pulihkan selsema dengan cepat.
5. Tidur dengan tinggikan bahagian kepala.
Anak sukar bernafas ketika selsema, jadi ibu boleh tinggikan sedikit bantal supaya memudahkan udara masuk dan anak jadi lebih selesa.
6. Keluarkan hingus
Rajinkan diri menyedut keluar hingus bayi agar lebih selesa dan selsema dapat menjadi kering dengan cepat. Ibu boleh membeli penyedut hingus di pasaran. Jangan sesekali menarik hingus menggunakan mulut kerana ianya mengandungi bakteria.
Semoga perkongsian ini dapat membantu ibu-ibu dapat menjaga anak ketika selsema.