Bila cakap pasal mitos, macam-macam amalan yang kita dengar. Kita baru tahu anak kita kena kuning, kita pun minta pandangan kawan-kawan terdekat. Mak Joyahlah tempatnya. Orang kata dia serba tahu.
Mak Joyah yang jadi jiran sebelah rumah ni pun dengan konfiden suruh kita jemur anak kita yang baru lahir bawah terik matahari. Betul ke tu? Dia tahu ke Jaundis ni sebenarnya?
Jaundis berlaku disebabkan kandungan bilirubin yang tinggi dalam darah. Apabila berlakunya keadaan sebegitu, sel darah merah akan dipecahkan dan mengeluarkan bahan kuning (bilirubin). Kemudian bahan ini dimetabolismekan oleh hati untuk disingkirkan daripada bahan. Lebih kurang satu daripada dua bayi akan mengalami jaundis neonatal beberapa hari di awal kelahiran.
Keadaan yang lazim berlaku adalah keadaan kulit dan bahagian putih pada mati si manja akan menjadi kekuningan. Cuba tengok keadaan dua bayi di bawah!
Jika bayi baru lahir kelihatan kuning, pakar pediatrik biasanya akan lakukan ujian darah untuk tentukan tahap bilirubin dalam tubuh bayi. Kalau tidak serius, biasanya doktor akan menasihatkan si ibu untuk menyusukan si manja dengan lebih kerap bagi menggalakkan pergerakan usus dan menyingkirkan bilirubin menerusi najis. Doktor juga akan lakukan semakan kesihatan berjadual untuk memantau tahap kesihatan anak anda.
Rawatan yang sering diberi ialah fototerapi, di mana bayi baru lahir diletakkan di bawah cahaya biru khas, yang membantu memecahkan lebihan bilirubin. Terapi ini juga boleh dilakukan di rumah dengan alat yang sama. Dalam kes yang serius, transfusi pertukaran darah mungkin diperlukan untuk mencegah kerosakan otak.
Sekitar Mitos dan salah faham
Terdapat pelbagai salah faham berkaitan jaundis. Berikut ialah penjelasan berhubung mitos-mitos yang banyak dipercayai jiran tetangga seantero Malaysia.
Mitos #1: Jaundis neonatal disebabkan makanan, ubat-ubatan atau keturunan.
Fakta: Berdasarkan kajian sains semasa, tiada kaitan antara faktor-faktor ini dan jaundis neonatal. Jaundis juga tidak mungkin diwarisi daripada ibu kepada anak. Selain jaundis ringan yang bersifat fisiologi, jaundis neonatal yang serius jarang berlaku, disebabkan oleh keadaan patologi seperti:
- Ketidaksepadanan jenis darah antara ibu dan bayi (iaitu apabila ibu mempunyai darah Rh-negatif dan bayi mempunyai darah Rh-positif; antibodi ibu memasuki darah bayi menerusi plasenta dan memusnahkan sel darah merahnya, lalu menghasilkan bilirubin). Ibu yang berdarah kumpulan O+ dan bayi yang darahnya kumpulan lain juga boleh menyebabkan jaundis.
- Bayi dengan kekurangan glukos-6-fosfat dehidrogenase (G6PD).
- Bentuk sel darah yang abnormal (contohnya anemia sel sabit).
- Penyakit yang menjejaskan hati dan saluran hempedu (contohnya fibrosis sistik, hepatitis).
- Jangkitan semasa lahir (contohnya rubella, sifilis).
Mitos #2: Jaundis neonatal tidak berbahaya
Fakta: Kebanyakan masanya, jaundis neonatal tidak berbahaya, tetapi keadaan bayi harus tetap dipantau untuk memastikan tahap bilirubin tidak meningkat atau menjadi lebih buruk. Semakin tinggi tahap bilirubin, maksudnya semakin tinggi kerosakan otak dan masalah pendengar bagi bayi anda. Dapatkan nasihat doktor dengan cepat sekiranya berlaku:
- Jaundis muncul dalam 24 jam selepas lahir (jaundis patologi).
- Peningkatan jaundis yang pantas.
- Keputusan pemeriksaan bayi baru lahir menunjukkan kekurangan G6PD.
- Bayi dalam keluarga sebelum ini mengalami jaundis neonatal yang serius.
- Najis berwarna pucat atau air kencing gelap.
- Bayi anda dilahirkan sebelum cukup bulan.
Mitos #3: Jaundis boleh dirawat dengan terapi cahaya matahari.
Fakta: Ini tidak disyorkan kerana ia tidak berkesan dan mungkin berbahaya. Bayi baru lahir boleh mengalami dehidrasi apabila diletakkan di bawah matahari, menjadikan keadaannya semakin teruk. Sinaran matahari dan sinar UV boleh menyebabkan kulit terbakar yang menyakitkan kulit bayi baru lahir.
Mitos #4: Susu ibu dapat menyembuhkan jaundis
Fakta: Bayi baru lahir sememangnya digalakkan untuk mendapatkan susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali sehari terutamanya pada hari-hari pertama kelahiran. Bahkan adakalanya bayi akan mengalami jaundis yang lebih lama. Asalkan berat badan bayi terus bertambah, pemberian susu ibu secara eksklusif tetap digalakkan.
Mitos #5: Susu kambing boleh membantu mengurangkan jaundis.
Fakta: Tiada kajian klinikal yang mengesahkan susu kambing berkesan untuk jaundis neonatal. Tambahan pula, sistem penghadaman dan hati bayi baru lahir belum matang dan tidak dapat menghadam susu kambing (dan lembu), yang kandungan nutrien terutamanya protein dalam susu tersebut tidak sesuai untuk sistem penghadaman si manja yang baru berkembang.
Mitos #6: Kes jaundis akan berulang lagi ketika dewasa.
Fakta: Kebanyakan kes jaundis neonatal bersifat fisiologi dan hanya berlaku pada beberapa hari pertama bayi. Jaundis yang dialami semasa dewasa tiada kaitan dengan jaundis neonatal.
Walaupun biasa berlaku, jaundis neonatal masih boleh membawa kepada komplikasi serius jika tidak diurus dan dirawat dengan baik. Penting untuk berunding dengan pakar pediatrik anak anda bagi mengawasi jaundis yang dialami pada beberapa hari pertama selepas kelahiran. Maklumkan keraguan anda kepada doktor bagi mengelakkan maklumat tidak tepat berkaitan jaundis.
Sumber: Persatuan Pediatrik Malaysia.