Rata-rata para pembaca artikel ini pasti akan bersetuju bahawa usaha memupuk tabiat menabung adalah sangat susah. Kita memang miskin dengan kemurnian sikap. Istilah gatal tangan untuk membeli barangan ini memang satu malapetaka yang susah hendak diubah. Hal ini kerana kita sedar bahawa duit adalah jalan untuk mendapatkan sesuatu kehendak atau minat. Satu minat yang memerlukan wang akan membawa kepada satu minat lain yang menagih perbelanjaan lain. Jadi adakah kita sebagai ibu bapa betul-betul tahu konsep menabung untuk kaya? Di sini kami beri 5 tips mudah mengajar anak konsep menabung!
- BERIKAN UPAH
Orang dewasa tentu tahu tentang konsep simpanan tetap. Ianya satu pelaburan pada kadar faedah yang tetap dengan pelaburan yang disyaratkan bagi satu-satu tempoh. Kita boleh gunakan konsep yang sama dengan anak-anak. Contohnya, jika si manja mengumpulkan satu ringgit setiap hari, selama satu bulan, anda boleh berikan upah sebanyak lima ringgit lagi pada hujung bulan tersebut. Asalkan duit yang dikumpul itu disimpan kesemuanya.
- BANTUAN TABUNG AYAM
SIapa tak ingat dengan ‘tabung ayam’? Kita semua ada tabung ayam masa kita kecil. Cari setiap duit syiling yang tersorok di tepi almari atau di bawah kerusi untuk disimpan dalam tabung tersebut. Buat permainan mencari syiling di antara anak-anak anda. Pastinya menarik!
- SET OBJEKTIF
Orang kata kalau inginkan sesuatu mesti berusaha. Sama seperti kata pepatah “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Begitu juga dalam mendidik anak-anak dengan tabiat menabung. Setiap anak perlu tahu betapa susahnya untuk mendapatkan wang. Berikan satu objektif pendek kepada mereka. Contoh mudah jika mereka ingin membeli aiskrim. Biarkan mereka mengumpul duit mereka sendiri. Mereka akan rasakan aiskrim itu lebih manis.
- BAYARAN CENGKERAM
Buat syarat mudah iaitu anak-anak perlu membayar sejumlah 5%-10% daripada harga keseluruhan permainan yang diinginkan mereka. Kita bukanlah hendak sangat duit mereka tetapi kita sedang melatih mereka untuk menghargai setiap barangan yang dibeli.
- BUAT AKAUN BANK/TABUNG HAJI
Tunjukkan bahawa anda juga menyimpan. Maklumkan pada anak anda duit tabungan atau duit raya anak anda akan disimpan dalam satu akaun untuk kegunaan mereka suatu hari nanti. Tunjukkan bahawa anda juga menyimpan wang dan tidak menggunakan setiap sen wang yang anda perolehi. Anda tahu suatu hari nanti akan berlaku kecemasan. Jadi, anda boleh menggunakan wang tersebut di masa akan datang.
- DISKAUN
Setiap kali anda membawa anak anda ke pasar raya, anda perlu didik anak anda memilih barangan yang lebih berkualiti tetapi murah! Murah di sini bukanlah bererti ia tidak elok tetapi ada tawaran yang lebih untung. Anak-anak perlu diajar untuk menunggu tawaran hebat yang mungkin ditetapkan bagi satu tempoh. Menunggu itu bagus kalau kita tahu nikmatnya!
Mengajar anak-anak tentang faedah menabung pasti membantu mereka mencerap masa depan yang lebih baik, iaitu kemurnian sikap yang lebih ‘kaya’. Semuanya bermula dengan berputiknya rasa tanggungjawab menjaga kedudukan kewangan. Tetapi semua ini tidak akan berguna sekiranya kita sendiri tidak ‘mempraktikkan setiap daripada apa yang diutarakan.’ Percayalah, anak-anak akan menangguk tabiat individu yang terdekat dengan mereka. Dalam erti kata lain, mereka adalah cerminan kelakuan kita sehari-hari.