IBU bapa yang beragama Islam selalunya akan mencukur rambut bayi mereka selepas tujuh hari dilahirkan kerana mengikut sunnah. Amalan itu tujuannya untuk membuang rambut yang pernah diselaputi darah semasa dalam kandungan dan proses kelahiran.
Kebiasaannya selepas lima bulan kemudian, rambut bayi sudah tumbuh elok. Namun buat sesetengah bayi, ianya kelihatan halus, jarang dan sedikit.
Bagi ibu-ibu pula, bayi yang memiliki rambut lebat kelihatan comel dan cantik. Jadi tak peliklah, kalau bayi masih kecil ibunya sudah beli macam-macam jenis minyak rambut di pasaran untuk lebatkan rambut anak mereka.
Kalau nak tahu, pernah seorang bayi dari Jepun menjadi fenomena dunia taw gara-gara rambutnya yang lebat semasa bayi. Bayi itu yang dikenali sebagai bayi Chanco sudah pun berusia 3 tahun.
Namun anda kena tahu, dalam ketaksuban nak anak berambut lebat, pastikan elakkan menggunakan minyak yang mengandungi bahan kimia yang bahaya untuk kulit bayi yang masih sensitif.
Para ibu boleh cuba tips-tips dan petua yang orang dulu-dulu yang popular diamalkan.
Petua Rambut Lebat
1. Minyak Buah Keras
Buah keras sangat popular dalam manfaatnya yang mampu melebatkan, menyuburkan, menyihatkan dan menghitamkan rambut.
Buah keras mengandungi minyaknya tersendiri, namun untuk mendapatkannya anda perlu membakar buah keras, ianya akan menghasilkan minyak. Jika sedikit minyak terhasil, anda boleh campurkan buah keras itu dalam minyak kelapa atau zaitun.
Sapu minyak itu pada kepala anak hingga ke hujung rambut.
2.Sapu Air Wuduk
Untuk petua ini tidak dapat dipastikan relevennya, namun terdapat pesan orang-orang tua yang menyarankan lebihan wuduk kita, kita sapukan sedikit pada kepala anak cukup sekadar basah.
3. Madu
Madu memang mempunyai pelbagai manfaat dalam kesihatan dan kecantikan. Untuk melebatkan rambut, madu mempunyai emolien yang boleh membuatkan folikel dan kulit kepala menjadi sihat.
Anda hanya perlu sapukan madu pada kulit kepala sedikit selama beberapa minit sebelum mandikan bayi.
4.Santan Kelapa
Cuba sapukan air santan kepada kepala anak. Ini kerana santan kelapa mempunyai kandungan vitamin E yang berfungsi untuk meningkatkan proses pertumbuhan rambut dan membuat rambut tumbuh dengan cepat.
5. Minyak Zaitun
Berbanding minyak-minyak moden dipasaran, orang tua-tua suka gunakan minyak zaitun untuk rambut. Ini kerana minyak zaitun ternyata berkesan dan digunakan di seluruh dunia.
Minyak zaitun mempunyai vitamin A, E dan pelbagai vitamin lain yang membantu mengunci keratin yang tersimpan pada akar kulit. Ianya menguatkan rambut baru yang tubuh.
Selamat mencuba!