Internet adalah keperluan bagi setiap orang. Tambahan pula dalam situasi pandemik hari ini, transaksi dan urusan dokumentasi banyak melibatkan proses dalam talian. Perkara ini menjadikan banyak syarikat telekomunikasi dan pembekal perkhidmatan internet di Malaysia berlumba-lumba memberikan pelan-pelan murah dan mudah untuk pengguna mereka. Lebih murah bermaksud lebih ramai yang akan gunakan internet.
Kebanyakan orang sudah memiliki capaian internet masing-masing sama ada melalui telefon bimbit atau capaian wifi di rumah masing-masing. Tetapi pernah tak kita terfikir kenapa internet di rumah kita menjadi perlahan padahal kita telah melanggan pelan internet kelajuan tinggi? Seolah-olah seperti ada individu lain yang berkongsi data internet yang sama.
Tetapi banyak faktor lain yang menentukan kelajuan dan kualiti internet terutamanya mengambil kira jenis teknologi, lokasi, peranti yang digunakan, di mana rooter atau (pusat rangkaian) berada dan alatan yang digunakan. Namun, tak dinafikan bahawa semakin banyak gajet atau peralatan yang berkongsi rangkaian internet yang sama, kelajuan dan stabiliti internet akan mengalami perubahan (perlahan).
Jika seseorang yang tidak dikenali memiliki akses terhadap capaian internet peribadi kita, bermaksud dia mampu memiliki maklumat privasi yang boleh mengganggu-gugat keselamatan kita dan keluarga.
Jom kita tengok beberapa petanda Wifi rumah kita telah digodam seseorang yang tidak dikenali.
#1: Bil Internet Meningkat Dengan Ketara
Bagi alasan pertama, rasanya ramai yang akan tahu dan mampu mencongak penggunaan internet peribadi. Jika kita memilih pembayaran bil bulanan, pastinya kita akan tahu berapa harga perkhidmatan yang sepatutnya kita bayar.
Bayangkanlah tiba-tiba internet bulan kita meningkat dua kali ganda tanpa alasan yang munasabah atau pengguna tamabahan, mesti kita sedar adanya pengguna ‘anonymous’ yang menumpang internet kita.
#2: Internet Menjadi Perlahan
Cuba semak di mana kita letak rooter, adakah jauh daripada bilik atau meja kerja kita, kalau kita menggunakan gajet dekat dengan pusat internet di rumah tetapi capaian internet masih perlahan, ini bermakna ada kecurian data berlaku.
Sekiranya ada berlaku kecurian data, anda akan mengetahui apabila kelajuan internet tiba-tiba menjadi perlahan berbanding sebelumnya. Cuba telefon pegawai perkhidmatan internet untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai situasi yang berlaku. Kemungkinan berlaku gangguan perkhidmatan, itu sebabnya capaian internet menjadi tidak teratur atau kerap lambat. Jika tidak ada isu berkaitan gangguan internet daripada syarikat perkhidmatan, cuba tukar password wifi anda. Lebih baik jadikan kelaziman untuk menukar password wifi anda sekali dalam tempoh sebulan untuk menyukarkan pencuri WIFI mengambil kesempatan.
#3: Ada peranti yang tak dikenali
Sekiranya kita mula curiga WIFI kita mengalami kecurian data, kita boleh memeriksa router wifi rumah dan melihat peranti-peranti yang terhubung dengan WIFI internet di rumah.
Sekiranya ada peranti yang tidak dikenali, kita mungkin boleh mengambil keputusan untuk mencari tahu pemilik gajet tersebut. Namun jangan kita lekas serkap jarang pula sekiranya ada peranti yang kita tak kenali. Berkemungkinan itu adalah milik individu terdekat tetapi menggunakan nama-nama yang kita tak ketahui.
#4: Iklan yang aneh
Siapa yang suka tiba-tiba keluar banyak iklan sewaktu kita melayari internet kan?
Perasan tak iklan-iklan yang muncul di telefon bimbit kita lazimnya biasanya banyak berkait dengan aktiviti pengguna di internet. Jadi, bersesuaian dengan aktiviti pengguna di internet, media iklan yang akan kita lihat juga lazim berkait dengan minat pengguna saat melayari internet.
Orang yang mencuri data wifi kita berkemungkinan menggunakan alamat IP milik kita dan mempengaruhi jenis iklan yang muncul sewaktu kita melayari internet.
Namun, sekiranya kita tidak melihat perkaitan iklan yang berhubungan dengan aktiviti kita di internet, ini bermakna ada orang lain yang menggunakan rangkaian internet yang sama.
Mungkin tidak merbahaya tetapi sekiranya pencuri data menggunakannya untuk menonton bahan pornografi, tentunya ia akan menjejaskan kredibiliti kita. Bahkan tidak sesuai sekiranya anak-anak atau orang lain menggunakan peranti kita selepas ini.
#5: Kes Jenayah
Kecurian data WIFI adalah satu kes yang perlu diberikan perhatian kerana orang yang mencuri data wifi mampu melakukan tindakan jahat yang lain dengan mencuri data peribadi atau memalukan kita di media sosial.
Jika pencuri wifi menggunakan jaringan wifi miliik kita untuk melakukan tindakan jahat sama ada mengakses isi kandungan terlarang atau mengancam orang lain, kita akan pastinya mendapat kesan dan disiasat atas kesalahan indivdu yang lain.
Lebih penting lagi adalah kita melindungi data peribadi dengan menukar password dengan kerap termasuklah mendapatkan maklumat lain daripada syarikat perkhidmatan internet yang kita daftarkan.