Ramai bayi yang menghadapi autism spectrum disorder (ASD) menunjukkan beberapa tanda sejak usia bawah dua tahun lagi. Perbezaan ini boleh dilihat melalui perkembangan sosial dan kemahiran berbahasa. Kanak-kanak normal biasanya akan duduk, merangkak dan berjalan pada masa yang sesuai dengan usia mereka tetapi berbeza dengan kanak-kanak autism. Pada peringkat awal, ibu bapa mungkin tak perasan tentang masalah ini. Tetapi apabila pemerhatian dilakukan terhadap bayi tersebut, kita akan sedar perbezaan bahasa tubuh, cara anak-anak itu bermain dan interaksi sosial kanak-kanak autism berbeza berbanding kanak-kanak biasa.
Terdapat lima perkara yang dapat memberikan gambaran awal tentang autism yang mungkin dihadapi bayi anda. Setiap spektrum autism adalah berbeza bagi setiap kanak-kanak yang berkenaan, ini adalah pemerhatian dan apa yang sering dijelaskan oleh para doktor.
1. Lambat Belajar Berjalan
Kanak-kanak yang menghadapi autism memiliki kebolehan berjalan yang lambat berbanding kanak-kanak biasa. Kanak-kanak normal akan berjalan pada usia mereka 9 hingga 16 bulan tetapi kanak-kanak autism akan mengambil masa dua tahun iaitu lebih panjang berbanding kebiasaannya.
2. Lambat Bercakap
Kanak-kanak yang menghadapi masalah autism kebiasaannya memiliki masalah pertuturan. Ada yang tak boleh bercakap dan ada juga yang sangat perlahan. Mereka memiliki kesukaran dalam mengatur perkataan.
Berbeza berbanding kanak-kanak biasa, pada usia dua tahun, kanak-kanak sepatutnya sudah boleh menyebut perkataan-perkataan mudah.
3. Masalah deria
Kanak-kanak Autism akan berasa terganggu apabila mendengar bunyi bising atau cahaya yang terlalu terang. Tetapi dalam sesetengah keadaan pula, kita akan tengok kanak-kanak yang menghadapi masalah deria turut memiliki craving atau keperluan untuk mendapatkan input deria daripada sekeliling mereka. Ada yang suka untuk menyentuh objek sekeliling mereka namun ada juga yang tidak boleh disentuh langsung.
4. Deria penglihatan (susah fokus)
Kanak-kanak autism menghadapi kesukaran untuk fokus pada objek sekeliling mereka. Mereka akan melakukan pekerjaan mereka sendiri dan kurang memberikan rangsangan kepada panggilan dan respon orang sekeliling mereka termasuklah ibu bapa mereka.
5. Menghentak-hentakkan kepala
Bayi yang berada dalam spektrum autism juga kerap menghentak-hentakkan kepala. Keadaan ini mula berlaku ketika kanak-kanak itu masih kecil lagi dan boleh dibawa ke usia kanak-kanak. Tetapi masalah ini boleh diperbaiki daripada semasa ke semasa.
INGATAN: Tanda-tanda ini akan mula jelas pada usia 6 bulan hingga dua tahun. Sebelum itu, berkemungkinan tanda-tanda ini tidak dapat dilihat langsung. Ibu bapa juga perlu sedar bahawa tanda-tanda ini juga bukanlah diagnosis yang boleh kita lakukan sendiri tetapi sebagai pengetahuan yang bersifat umum. Jika si manja anda memiliki sebahagian besar daripada tanda-tanda yang dinyatakan ini dalam tempoh enam bulan ke atas, kitab oleh bawa si manja berjumpa doktor untuk melakukan ujian. Diagnosis awal membantu pembelajaran dan kemahiran anak-anak ini selepas ini.