Kaum ibu biasanya akan risau selepas beranak. Mulalah berat badan bertambah dan sukar untuk Kembali kepada bentuk asal sebelum mereka mengandung. Menurut Professor Kathleen Rasmussen, Pakar ibu dan nurtrisi kanak-kanak di Universiti Cornell menyatakan wanita selepas bersalin akan mengalami purata pertambahan berat sebanyak 1-2 kilogram. Walaupun jumlah yang dinyatakan ini tidak keterlaluan, tetapi berat kaum ibu biasanya akan terus meningkat disebabkan faktor-faktor lain seperti pemakanan dan kurang aktiviti fizikal.
1. Menyusukan Anak
Bagi kebanyakan ibu, menyusukan anak boleh membakar sehingga 500 kalori setiap hari, sama seperti bentuk senaman yang lain. Namun, para ibu di luar sana perlu pastikan yang ibu-ibu dapat jumlah kalori yang mencukupi supaya dapat bekalkan jumlah susu yang cukup kepada si manja. Tapi best kan dapat bakar kalori walaupun tak banyak pergerakan?
2. Kerap Makan Dalam Kuantiti Yang Kecil
Pastikan para ibu di luar sana tu ambil makanan yang terhasil secara semula jadi atau makanan -makanan yang bersifat “single ingredient food” dan elakkan makanan yang diproses dengan pelbagai bahan kerana kebanyakannya ia akan diawet dan bentuk nutrisi asal sesuatu makanan itu telah berubah. Saya juga cadangkan para ibu di luar sana supaya ambil jumlah kalori yang mencukupi. Mungkin sekitar 1800 sehingga 2200 kalori setiap hari untuk pastikan metabolisme tubuh berada dalam keadaan teratur dan bayi anda dapat nutrisi yang lengkap. Rahsianya adalah dengan menggabungkan protein dan karbohidrat dalam kuantiti yang kecil tetapi diambil secara kerap. Ini dapat membantu membekalkan tenaga kepada ibu dalam tempoh yang lebih panjang.
3. Aktiviti Senaman Ringan
Kebanyakan ibu muda sukar untuk meneruskan aktiviti senaman sekiranya aktiviti tersebut membebankan dan leceh dilakukan, terutamanya jika bayi kita masih kecil. Sesetengah ibu akan berjalan di sekeliling taman dengan membawa bayi di dalam stroller. Terpulang kepada ibu-ibu. Jika ibu-ibu suka aktiviti senam robik atau aktiviti yang melibatkan bentuk tarian, para ibu boleh lakukannya. Buat perkara yang ibu-ibu suka. Jangan hadkan kepada aktiviti-aktiviti tertentu sahaja!
4. Angkat Bebanan
Sebenarnya dukung bayi sahaja dah cukup memenatkan dan dapat mengambalikan bentuk kaki dan tangan sebelum ibu-ibu bersalin. Masalah yang selalu menjadi kelaziman adalah lemak degil di bawah perut sesudah kita bersalin. Setiap orang ada caranya. Mungkin dengan cuba senaman plank atau crunches dapat memberikan kekuatan kepada bahagian abdomen atas dan otot abdomen bawah para ibu. Mudah-mudahan, ia membantu mengatasi masalah lemak degil tu.
5. Timbang Berat Secara Berkala
Jangan lupa beli penimbang dan gunakan! Walaupun benda ni Nampak remeh, tetapi dengan adanya ketetapan yang kita buat secara mingguan, kita dapat semak fungsi tubuh kita. Sekarang penimbang pun ada yang canggih sehingga boleh baca tekanan darah dan bacaan nadi. Jadi, penting juga untuk ada aktivti semak imbang bagi diri sendiri.
Turun Berat Badan Menuntut Kesabaran
Jika para ibu di luar sana ada masalah berkaitan berat badan sebelum kehamilan dan inginkan perubahan, para ibu boleh dapatkan bantuan dietitian untuk khidmat nasihat berkaitan pemakanan. Tidak elok sekiranya ibu-ibu teruskan diet yang telalu ekstrem atau cuba hendak dapatkan berat ideal terlalu cepat. Menurunkan berat badan adalah proses yang menuntut kesabaran dan pilihan pemakanan yang tepat. Berbincanglah dengan pasangan masing-masing untuk kesihatan ibu dan juga si manja anda.