Ingat tak pepatah yang selalu disebut apabila berlaku situasi cemas sewaktu dalam penerbangan: Kita kena pakai topeng oksigen terlebih dahulu sebelum bantu untuk pakaikan pada orang lain. Sama juga dengan situasi sebagai bapa atau pemimpin keluarga: kita kena jaga diri sendiri untuk sentiasa bersedia demi ahli keluarga.
Krisis mental yang melibatkan orang lelaki adalah permasalahan serius yang melanda banyak negara. Menurut data yang dikeluarkan World Health Organization (WHO), kadar bunuh diri di negara-negara berpendapatan tinggi melibatkan lelaki adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding wanita. Berbeza berbanding orang perempuan, kaum lelaki memilih untuk tak membincangkan masalah mental kerana stigma-stigma yang telah dibentuk masyarakat sekitar yang menyatakan orang lelaki mesti kuat.
Ditambah pula dengan tekanan hidup dan kadar pengangguran yang disebabkan pandemik Covid-19 pada hari ini, adalah sesuatu yang penting untuk kekal bertenang dan menilai tahap kesihatan mental bagi kita kaum lelaki. Kurangkan aktiviti yang menekan hidup, kurang rehat dan kesibukan sekeliling. Ambil masa untuk diri sendiri!
Iya, kita kena amalkan kehidupan yang seimbang: kawal pemakanan, aktiviti senaman dan waktu tidur yang mencukupi. Jika kitab oleh ada ketetapan untuk kekal gembira, sihat dalam hati dan fikiran – kita akan jadi versi peribadi yang terbaik untuk diri sendiri dan keluarga. Cuba amalkan beberapa petua di bawah setiap hari untuk mendapatkan kesihatan mental yang baik.
1. Tepuk dada tanya jiwa
Bagaimana kita melihat perubahan diri sendiri akan tentukan apa kesan suasana sekeliling dah buat pada kehidupan kita! Saya selalu tanyakan diri sendiri, kenapa tiba-tiba aku berubah? Apa yang menyebabkan orang sekeliling aku tertekan? Adakah aku terlalu menyalahkan diri sendiri apabila semua yang terjadi tak menyebelahi impian dan cita-cita sendiri? Bila kita jawab soalan-soalan begini, kita akan sedar di mana letaknya tahap mental kita. Adakah situasi yang berlaku membawa kepada rasa sedih, kecewa dan hilang panduan dalam hidup? Kita sendiri yang tahu.
2. Tetapkan Matlamat Jangka Masa Pendek
Penting bagi kita membina sesuatu, bergerak dan berubah demi individu yang kita sayangi. Sebagai suami dan bapa, keluarga adalah tunjang kehidupan sehari-hari. Menetapkan matlamat jangka pendek akan memberikan kita rasa kesempurnaan dalam kehidupan. Kita semua perlukan sebab. Matlamat yang bercelaru atau terlalu panjang tanpa ‘penanda aras’ adalah matlamat hangat-hangat tahi ayam. Adalah lebih baik untuk tetapkan matlamat dalam 30 hari yang akan datang. Buat semakan secara mingguan untuk lihat apa yang kita berjaya capai dan apa yang menjadi kekangan.
Matlamat apa? Macam-macam boleh dibuat. Sama ada kita habiskan bahan bacaan yang lama tertangguh atau untuk turunkan berat badan. Bergantung pada diri anda! Ramai orang beranggapan mereka penat buat rutin yang sama atau tak bermotivasi, tetapi sebenarnya mereka tersekat dalam rutin dan tidak ada senarai cita-cita yang ingin mereka capai. Kebosanan adalah punca kepada rasa kosong dalam hidup. Jadi, penting untuk seseorang lelaki bersedia untuk melakukan perubahan dan merancang matlamat.
3. Set Pencapaian Realistik
Cita-cita yang terlalu tinggi akan menjadi bebanan kepada kesihatan mental seseorang. Dalam banyak bentuk cita-cita, realistik dan boleh dicapai adalah sesuatu perkara penting yang membantu kita membina masa depan dan perhubungan kekeluargaan yang baik. Jangan orang gelar kita “Mat Jenin Tradisional” yang asyik dengan cita-cita tapi langsung tak berpijak di bumi nyata.
Kita kena bijak menangani persepsi. Contohnya kita takut cita-cita tak tercapai, jadi kita tak berusaha sebaiknya. Keduanya adalah tidak merancang sesuatu impian. Kita tidak mempunyai senarai perancangan yang baik sebaliknya menyerahkan segalanya kepada takdir. Mulalah salahkan takdir apabila sesuatu perkara tak berpihak kepada kita.
Sebagai contoh, lelaki atau pemimpin keluarga yang ingin membina perhubungan yang baik dengan anggota keluarga tak perlu membanding-bandingkan apa yang boleh diberikan dan apa yang pasangan kita berikan untuk anak-anak. Sebaliknya senaraikan tugasan peribadi dan lakukannya. Jika tidak pasti, bertanya kepada orang lain. Tak salah pun!
4. Hadkan Masa Bekerja
Bagi elakkan tekanan melampau, kita kena hadkan waktu bekerja cuma di pejabat. Waktu di rumah haruslah diisi dengan aktiviti kekeluargaan. Bercakap tentang kerja memang takkan pernah selesai. Apabila kita berada di suatu tempat, seharusnya hati dan fikiran kita juga perlu ada bersama. Barulah kita sedar dalam fikiran kita sudah ada set fikir bahawa rumah adalah syurga kehidupan! Tempat di mana bahagia ada bersama orang-orang yang tersayang.
Bayangkan stress perjalanan dan waktu 5 hari seminggu yang dihabiskan di pejabat! Adakah berbaloi untuk kita bawa tekanan 5 hari bekerja di rumah pula? Lebih baik kita tinggalkan di pejabat. Hargai orang yang gembira melihat kita tersenyum.
5. Sentiasa Berkomunikasi Dengan Pasangan
Bila seseorang sudah berkahwin lama, biasanya kita akan faham dengan af’al atau sikap pasangan kita. Kalau kita jeling sahaja, pasangan kita sudah faham. Termasuklah apa yang kita suka dan tak suka. Perbualan adalah perkara asas dalam sesuatu perhubungan. Komunikasi yang baik adalah kejujuran yang mesti kita wujudkan dalam sesuatu hubungan suami isteri.
Dalam urusan rumah tangga jika dijadikan contoh, kita perasan adakalanya anak-anak nakal sampai buatkan kita sebagai ayah hilang sabar. Sebelum kita bertindak yang bukan-bukan, buat isyarat atau berikan komunikasi yang baik supaya si isteri masuk campur dan mengambil alih untuk berikan tindakan terhadap disiplin atau kelakuan anak-anak.
Memang betul, komunikasi yang baik adalah kunci kelapangan jiwa. Setiap suami sepatutnya faham perkara yang saya sebut ini!
Setiap daripada kita faham bahawa kehidupan ini penuh dengan tekanan. Baik situasi di tempat kerja, kesesakan jalan raya, faktor tekanan ekonomi dan banyak hal yang tak boleh kita kawal secara sendiri. Tetapi kita perlu merancang kehidupan sebaiknya. Jangan disebabkan tekanan di luar menjadikan kita keliru dan terbawa-bawa tenaga negatif yang ada. Kehidupan akan tetap berjalan, bezanya kita menanggapinya dengan cara bagaimana.