Dalam ajaran Islam, didikan dan pengajaran anak-anak adalah perkara yang sangat dititik-beratkan. Seperti mana hadis Rasulullah yang memperumpamakan anak kecil seperti kain putih, ibu bapa harus mencorakkannya. Imam Ghazali juga telah menyingkap peranan ibu bapa yang memegang anak-anak sebagai amanah. Jika seseorang anak itu sudah dibiasakan untuk beramal dengan kebaikan, maka anak itu akan membesar dalam kebaikan dan biasa dengannya
Dunia Islam sejak kurun ke 15 lagi telah menggariskan beberapa aspek yang meletakkan kanak-kanak sebagai perhatian utama. Jom kami kongsikan empat tahap mendidik anak-anak mengikut amalan Rasulullah S.A.W. Kongsikan tips ini supaya dapat dimanfaatkan oleh ramai mummy dan daddy di luar sana.
Tahap 1 (Umur 0 hingga 6 Tahun – Mumayyiz)
Pada waktu ini, Islam mengajar ibu bapa untuk menyayangi anak-anak sepenuh hati. Si manja perlulah dibelai dengan kasih sayang, diajak bermain dan bergurau. Ibu bapa boleh terapkan nilai-nilai baik melalui tauladan. Anak-anak yang menerima kasih sayang sepenuhnya lebih mudah didekati dan dinasihati jika ada perkara-perkara yang dilakukan anak-anak boleh memberikan kesan tidak baik ke atas diri mereka.
Tahap 2 (Umur 7 hingga 14 Tahun)
Dalam usia 7-14 tahun, Islam telah mengajar ibu bapa untuk mendidik anak-anak dengan kasih sayang tetapi tegas dengan arahan dan disiplin yang jelas. Perkara ini penting untuk mengajar anak-anak bertanggungjawab. Ketika ini, ibu bapa wajar mendidik anak-anak tentang amalan-amalan yang wajib dijalani oleh seorang Muslim seperti bersolat, berpuasa dan lain-lain ibadah yang bersangkut-paut dengan mentauhidkan Allah.
Tahap 3 (Umur 15 hingga 21 Tahun)
Pada usia 15-21 tahun, Nabi Muhammad S.A.W. telah mengajar anak lelaki dan perempuan dengan cara berkawan. Ketika ini, anak-anak sudah berkembang dengan pelbagai maklumat dan dia mula mempersoalkan banyak perkara yang berlaku di sekelilingnya termasuklah mengenai kepercayaan dan idealisme dalam hidup. Melalui cara berkawan dan bertukar pendapat, ibu bapa boleh membimbing anak-anak tanpa banyak menyentuh emosi anak-anak yang ketika itu sedang terbentuk.
Tahap 4 (Umur 21 tahun ke atas)
Pada usia 21 tahun, ibu bapa hendaklah memberikan kebebasan bertindak kepada anak-anak. Ada masanya anak-anak akan melakukan hal-hal yang salah. Perkara itu normal dan ibu bapa perlu menasihatinya agar mereka sedar segala tindakan mereka akan memberi kesan kepada individu sekeliling mereka. Ibu bapa perlu sedar anak-anak adalah amanah dan tanggungjawab kita dan bukannya hak milik yang mesti kita tahan-tahan tanpa pilihan.
Sebenarnya, ibu bapa mempunyai peranan penting untuk mendidik anak-anak supaya menjadi manusia yang berjaya di dunia dan akhirat. Ibu bapa jangan terlalu risau untuk berbuat salah dalam mendidik. Sebaliknya kita kena sentiasa belajar memperbaiki diri dari masa ke semasa. Setiap hari adalah peluang untuk belajar dan cuba faham cara mendidik anak-anak dengan betul, sesuai dengan perubahan-perubahan semasa yang berlaku pada hari ini. In Shaa Allah, ibu bapa akan berjaya melahirkan generasi muda yang berjaya.